Antara ruang untuk pesakit yang disediakan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS pada 3 April 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tandas dibersih empat kali sehari, 75 peratus pesakit Covid-19 puas hati

SHAH ALAM, 18 MEI: Tandas Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dibersihkan empat kali sehari mengikut jadual, kata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

Jabatan berkata tinjauan dilakukan mendapati 75 peratus pesakit turut berpuas hati dengan tahap kebersihan tandas berkenaan.

“Untuk makluman kerja pembersihan tandas dilakukan pada jam 10 pagi-12 tengah hari, 3-5 petang, 8-10 malam dan 2– 4 pagi.

“Ada pesakit memberikan komen positif berhubung perkara ini menerusi media sosial. Bagaimanapun jumlah penggunaan tinggi selain sikap membuang sampah merata-rata menyebabkan saluran tersumbat,” katanya menerusi Facebook.

Kenyataan sebagai maklum balas terhadap laporan portal berita berhubung luahan pesakit ketika mendiami pusat berkenaan termasuk keadaan tandas yang jijik.

Berhubung isu suhu, JKNS berkata pihaknya akan mengatasi masalah itu dengan menetapkan suhu piawaian antara 22 hingga 24 darjah celcius selain meneruskan pantauan.

“Untuk bekalan makanan pula, PKRC sediakan sebaik mungkin bagi elakkan pembaziran. Kenderaan saji (food truck) disediakan secara percuma sehingga 10 malam manakala pesakit yang masuk selepas waktu itu akan diberikan roti, biskut, jem kaya, air kotak dan mineral.

“Agihan makanan diutamakan kepada warga emas, kanak-kanak serta pesakit yang mempunyai diet terapeutik. Walaupun proses agak lambat namun pihak PKRC akan memastikan ia selesai dalam tempoh dua jam,” katanya.


Pengarang :