Keadaan di unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

Wanita usia 33 tahun antara mangsa korban Covid-19

SHAH ALAM, 27 MEI: Dua wanita berusia 33 tahun antara 59 kematian yang dicatat di seluruh negara hari ini akibat jangkitan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Menerusi kenyataan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kedua-dua mangsa mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi, asma, jantung dan buah pinggang kronik.

Kenyataan sama juga menyebut wanita tersebut meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh, Selangor dan Hospital Miri, Sarawak.

Mengikut rekod hari ini, majoriti kes kematian membabitkan individu lanjut usia yang ada penyakit tertentu seperti darah tinggi, kencing manis, masalah buah pinggang dan jantung.

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 19 kes kematian dicatatkan di Selangor, Sarawak (sembilan), Johor (tujuh) dan Kuala Lumpur (enam).

Kelantan pula merekodkan lima kematian, Negeri Sembilan (empat), Pulau Pinang (tiga), Kedah (dua) dan masing-masing satu di Sabah, Perak, Melaka dan Terengganu.

Sebanyak 2,491 individu maut akibat jangkitan Covid-19 sejak lebih setahun pandemik melanda negara.


Pengarang :