SHAH ALAM, 3 JUN: Wakil rakyat di negeri ini mula bergerak menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas di kawasan masing-masing susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh sejak Selasa lalu.
Selain golongan kehilangan mata pencarian terutama yang berpendapatan harian, sumbangan turut disalurkan kepada mereka tidak dapat keluar kerana sedang dikuarantin berikutan dijangkiti Covid-19 atau menjadi kontak rapat.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata pusat khidmatnya memperkenalkan program ‘Ziarah Lockdown’ dan ‘Ziarah Kuarantin’ sepanjang PKP penuh dengan menghantar pek makanan mengandungi beras, tepung, mihun dan kicap.
“Mungkin kali ini jumlah memerlukan bantuan lebih ramai kerana ada pertambahan pesakit Covid-19, seperti contoh ada 136 orang dikesan dijangkiti wabak (menerusi Saringan Komuniti Covid-19 anjuran Kerajaan Selangor).
“Mereka tidak boleh keluar membeli barang, kalau yang dirawat di hospital atau pusat kuarantin ahli keluarga pula perlu dibantu kerana menjadi kontak rapat dan menjalani kuarantin,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
ADN Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi turut menumpukan kawasan berlaku peningkatan wabak dan kumpulan pertama penerima membabitkan 13 keluarga yang terputus bekalan makanan di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Seksyen 16.
“Kita juga bantu mereka yang mencari rezeki sebagai penjaja kecil, ramai golongan itu terjejas kerana perniagaan tidak berjalan seperti biasa dan pendapatan tidak seberapa,” katanya.
Sementara itu, ADN Kampung Tunku, Lim Yi Wei berkata pusat khidmatnya sudah mula menghubungi 400 orang dalam senarai kumpulan memerlukan bantuan yang dikumpulkan sejak PKP 1.0 dengan kebanyakannya bergaji hari seperti pemandu dan kelindan lori.
“Kami akan menghantar keperluan seperti makanan, lampin pakai buang serta susu untuk orang dewasa dan kanak-kanak selepas sahaja proses penelitian selesai.
“Sepanjang PKP penuh ini juga, kami melaksanakan program GoVax yang menyediakan pengangkutan membawa warga emas dan orang kurang upaya menerima vaksin di lima pusat pemberian vaksin berhampiran,” katanya.