Hee Loy Sian (tiga dari kanan) menyerahkan keperluan asas kepada wakil keluarga Orang Asli sempena program Pelancaran Penyerahan Bakul Makanan Kepada Ketua Isi Rumah Orang Asli Negeri Selangor di Balai Raya Kampung Orang Asli Sungai Buah, Dengkil, Sepang pada 14 Ogos 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor edar 6,000 lagi bakul makanan kepada Orang Asli

DENGKIL, 14 OGOS: Sebanyak 6,000 bakul makanan diedar secara berperingkat kepada 6,000 keluarga Orang Asli yang terkesan akibat Covid-19 di seluruh negeri mulai hari ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata agihan kali kedua pada tahun ini dengan peruntukan RM450,000 meliputi beras, gula, garam dan minyak masak.

“Pada Mac lalu kita bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengedarkan bakul makanan dengan jumlah peruntukan RM600,000.

“Kali ini berlainan apabila kita bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Chamber of Commerce in Hong Kong and Macau dan Persatuan Pembangunan Orang Asli Malaysia,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bakul makanan kepada sebahagian daripada 94 keluarga di Kampung Orang Asli Sungai Buah di sini hari ini.

Loy Sian berkata NGO berkenaan turut mengagihkan bakul makanan bernilai RM60 setiap satu kepada
sebahagian kecil Orang Asli di Perak.

Pakej Kita Selangor yang dibentang awal tahun ini memperuntuk RM1.3 juta untuk mengagihkan keperluan asas kepada pemandu teksi dan bas sekolah, penyewa projek perumahan rakyat, pemandu lori sisa pepejal dan Orang Asli.


Pengarang :