SHAH ALAM, 19 OGOS: Seorang pekerja restoran menghela nafas lega dapat meneruskan tugas tanpa bimbang berisiko tinggi dijangkiti wabak selepas lengkap dua dos menerusi program Vaksin Selangor (Selvax).
Alamgir Sossen, 39, warga India yang bekerja di restoran nasi kandar di Subang berkata sebelum ini ada kalanya timbul kebimbangan itu kerana sentiasa berdepan dengan ramai orang.
“Sekarang senang hati hendak sedia nasi kandar kerana sudah lengkap vaksin, saya harap restoran dapat kebenaran buka sepenuhnya nanti,” katanya ditemui pada program Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya di sini, hari ini.
Warga Bangladesh Md Mozibur Rahman Bhuiyan, 39, memuji inisiatif DUN Subang Jaya menyediakan gegantung tatacara operasi piawai dalam lima bahasa asing yang memudahkan warga asing.
“Ada rakan saya dari Bangladesh belum lagi fasih bahasa Melayu, jadi bila ada penerangan dalam bahasa Bengali mudah mereka faham.
“Jadi proses berjalan lancar apabila mereka faham peraturan di sini,” kata pekerja penyelenggara penyaman udara berasal dari daerah Comilla, Bangladesh.