Petugas kesihatan membuat persiapan mencucuk bebuli vaksin sebelum memberi suntikan secara pandu lalu kepada kakitangan Sirim di Shah Alam pada 31 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor bantu negeri lain, pinjamkan stok 500,000 vaksin kepada CITF

SHAH ALAM, 19 OGOS: Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri kepada Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF).

Dalam sidang media secara maya hari ini, Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu bagi membantu beberapa negeri yang memerlukan bekalan pelalian ketika ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan antara negeri yang bakal menerima bekalan tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

“Kita setuju untuk menyalurkan vaksin ini kepada CITF yang akan diberi dalam bentuk pinjaman dan dipulang dalam tempoh sebulan atau dua bulan akan datang.

“Saya sudah berbincang dengan ketua pengarah kesihatan dan beliau minta sokongan gunakan dos Selangor untuk dibawa ke negeri lain,” katanya menambah vaksin juga akan dijual kepada syarikat swasta di negeri berkenaan.

Selain itu, Amirudin berkata Selangor bersedia menawarkan khidmat petugas kesihatan untuk membantu proses suntikan vaksin di beberapa negeri.

“Kita bersedia menawarkan petugas kesihatan Selgate dan Selcare untuk membantu proses pemberian vaksin di beberapa negeri lain…ia melibatkan sedikit kos, ini tawaran kita,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata vaksin yang dipulangkan akan digunakan untuk suntikan pelalian ketiga, dijangka pada awal atau pertengahan tahun depan.

Kerajaan Negeri menyediakan 500,000 dos vaksin secara percuma bagi mempercepatkan vaksin terutama warga emas, golongan berpendapatan rendah dan penerima skim Inisiatif Peduli Rakyat.

Sebanyak dua juta dos vaksin turut disediakan kepada majikan bagi diagihkan secara percuma untuk sejuta pekerja negeri ini termasuk warga asing.


Pengarang :