Kakitangan kesihatan membuat semburan nyahkuman terhadap ahli keluarga mangsa korban Covid-19 di bilik mayat sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 23 Mei 2021. Foto REUTERS
EXCOSELANGOR

PBT diarah teliti tapak krematorium sesuai, elak beban kepada waris

SHAH ALAM, 30 OGOS: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mengambil tindakan segera berhubung tapak krematorium kawasan masing-masing khususnya membabitkan kematian akibat Covid-19.

EXCO kerajaan tempatan berkata majlis juga diarah mengenal pasti dan meneliti lokasi pembinaan krematorium untuk proses pembakaran mayat.

“Semua PBT perlu merancang dan menelitinya untuk cadangan Belajawan 2022 termasuk penetapan kadar bayaran supaya tidak membebankan waris.

“Ini bagi membantu rakyat dan tidak mahu rakyat jadi terdesak,” kata Ng Sze Han ketika sesi penggulungan di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Ketika sesi perbahasan minggu lalu, ada Ahli Dewan Negeri mengusulkan supaya setiap PBT menyediakan tempat pembakaran mayat.

Sementara itu Sze Han berkata lebih 8,000 penjaja kecil-kecilan ditawarkan lesen sementara sepanjang penularan Covid-19.

“Akibat pandemik, ramai keluar dari zon selesa dan berniaga termasuk di tepi jalan. Justeru, Kerajaan Negeri memilih untuk bersama dan membela mereka.

“Jadi Kerajaan Negeri mengarahkan PBT mempermudah dan mempercepatkan pemberian lesen selain mengenal pasti tapak sementara yang sesuai dengan kawalan keselamatan serta tiada kacau ganggu,” katanya.

Bermula Ogos tahun lalu, PBT negeri ini bermula dari Majlis Bandaraya Shah Alam memberikan permit sementara kepada peniaga tidak berlesen khususnya golongan berpendatan rendah (B40) yang terjejas akibat Covid-19.


Pengarang :