Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawab soalan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex pada 26 Ogos 2021. Foto NAZIR KHAIRI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Selangor terima permohonan pinjam vaksin lagi

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kerajaan Selangor sedang mempertimbangkan permohonan sebuah negeri lagi yang mahu meminjam vaksin dari program Vaksin Selangor (Selvax).

Dato’ Menteri Besar berkata perkara itu kini diuruskan bersama Pasukan Petugas Khas Imuninasi Covid-19 (CITF) yang akan memutuskan sama ada membenarkan atau tidak untuk memberi pinjaman berkenaan.

“Kalau CITF benarkan dan ada jaminan pemulangan balik, insya-Allah kita akan gunakan kerana simpanan yang ada untuk suntikan dos ketiga,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika ditemui pemberita di Bangunan Annex di sini, hari ini.

Pada 19 Ogos, Kerajaan Negeri bersetuju meminjamkan sebanyak 500,000 stok vaksin yang dibeli sendiri CITF dan antara negeri bakal menerima bekalan tersebut ialah Kedah, Pulau Pinang dan Sabah.

Sementara itu, Amirudin mengulas mengenai kadar jangkitan Covid-19 yang makin menurun sebagai satu petanda positif namun bukan bererti telah selamat.

“Kita tidak selamat selagi semua tidak selamat kerana ada sebilangan belum mendapat vaksin, ada warga negeri lain belum disuntik juga boleh menyebar penyakit ini.

“Saya berharap agar kita memastikan vaskin ini sebahagian usaha untuk mengurangkan risiko tetapi langkah norma baharu mesti diteruskan termasuk memakai pelitup muka dan penjarakan fizikal,” katanya.


Pengarang :