Petugas kesihatan, memberi suntikan vaksin Covid – 19 kepada penerima ketika program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti DUN Sungai Ramal di pusat pemberian vaksin (PPV) Evo Mall, Bandar Baru Bangi pada 18 Ogos 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kes Covid-19 negeri lebih terkawal jika bekalan vaksin diterima Mac

SHAH ALAM, 30 OGOS: Lonjakan jangkitan Covid-19 di Selangor lebih terkawal jika vaksin ke negeri ini dibekalkan lebih awal, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri bersedia dari semua kerangka termasuk menubuhkan Pasukan Petugas Khas Covid-10 (STFC), menjalankan saringan bersasar dan menyediakan beberapa bantuan kepada pasukan hadapan sejak penularan berlaku.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan usaha itu terjejas apabila bekalan vaksin lewat diterima kerana kerajaan persekutuan menumpu kepada Sarawak memandangkan Pilihan Raya Negeri akan dijalankan.

“Beberapa minggu lepas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah maklumkan sepatutnya Selangor terima vaksin sekitar Mac atau April kerana dah jadi kawasan epid. Sebab itu (bekalan) Sarawak tinggi.

“Bila kes (Covid-19) meledak di Selangor, EXCO kesihatan bising..Duli Yang Maha Mulia (Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj) dua kali keluarkan titah kadar vaksin lemah, baru kita dapat bekalan dan laksanakan (vaksinasi),” katanya ketika sesi penggulungan di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Amirudin berkata lebih 70 peratus rakyat berdaftar di aplikasi MySejahtera lengkap divaksin setakat hari ini termasuk suntikan daripada Program Vaksin Selangor (Selvax).

Jelasnya program suntikan kian menunjukkan kesan positif berdasarkan bilangan kes, penggunaan katil, pesakit di unit rawatan rapi, kematian warga emas dan jumlah pesakit Covid-19 sejak Mei hingga Ogos.

“Jumlah pesakit yang memerlukan oksigen di Maeps, Serdang turut berkurang sehingga lima kali ganda berbanding sebulan lalu iaitu dariapda 525 kepada 109 individu,” katanya.

Pada Jun, Kerajaan Selangor melancarkan Selvax Komuniti dan Selvax Industri bagi melengkapkan dan mempercepat proses suntikan pelalian rakyat negeri ini.

Usaha melibatkan kos bernilai RM200 juta itu diiktiraf kerajaan persekutuan dan terangkum dalam kerangka Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah, warga emas serta pekerja industri.


Pengarang :