Mohd Salim Mohamed Sain (dua, kanan) menyampaikan bantuan wang tunai dan keperluan asas kepada seorang pelajar anak yatim kematian bapa akibat Covid-19 di SMK Seksyen 16, Shah Alam pada 10 September 2021. Foto Facebook Yide
AGENSISELANGOR

Yide bantu tujuh anak yatim hilang bapa akibat Covid-19

SHAH ALAM, 13 SEPT: Yayasan Islam Darul Ehsan (Yide) pada Jumaat lalu menyumbangkan wang tunai dan keperluan asas kepada tujuh anak yatim yang kematian bapa akibat Covid-19.

Ahli Lembaga Pemegang Amanahnya Mohd Salim Mohamed Sain berkata sumbangan kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 16 di sini itu diharap dapat meningkatkan semangat meneruskan persekolahan.

“Saya mengharapkan anak-anak ini terus diberikan kekuatan dan kecekalan dalam meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya menerusi Facebook baru-baru ini.

Pengurus Besar Yide Nur Mohd Razali Abdullah berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) bagi mendapat data terkini pelajar kehilangan bapa akibat wabak itu.

“Yide akan menyantuni mereka dengan menyalurkan sumbangan terus kepada pelajar tersebut,” katanya.

Orang ramai ingin menyumbang kepada Yide untuk membantu golongan sasar boleh berbuat demikian melalui billplz di pautan https://yide.com.my/donations/infaq-dana-musibah/.

Selain itu pindahan bayaran melalui akaun Bank Islam Yide, 1223 40100 07330.


Pengarang :