Dato’ Seri Amirudin Shari berucap semasa sesi Townhall Belanjawan Negeri Selangor 2022 di Hotel Wyndham, Klang pada 9 Oktober 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor belanja RM1.1 bilion bantu rakyat depani pandemik

KLANG, 9 OKT: Kerajaan Negeri membelanjakan RM1.1 bilion melalui beberapa pakej ekonomi bagi membantu rakyat mendepani pandemik Covid-19 dalam tempoh dua tahun.

Pelan tersebut meliputi dua siri Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor dan Pakej Kita Selangor serta Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor untuk menangani dampak wabak.

Dato’ Menteri Besar berkata puluhan ribu keluarga menerima manfaat melalui inisiatif itu dengan program bakul makanan antara yang mendapat perhatian.

“Menerusi laporan diterima daripada wakil rakyat dan penyelaras, lebih 91,000 keluarga menerima bakul makanan yang dibiayai Kerajaan Negeri melalui pakej ekonomi tersebut,” katanya.

Beliau bercakap pada sesi taklimat Belanjawan Selangor 2022 membabitkan pimpinan komuniti Selangor di Hotel Wyndham di sini hari ini.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga mengisytihar beberapa projek mega dalam Belanjawan 2022 bagi memberi ruang pelaburan, kemudahan infrastruktur dan pekerjaan.

“Ini penting kerana rakyat ingin lihat bagaimana kerajaan dapat mengujakan permulaan bagi sektor ekonomi yang terkandas lebih lapan bulan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Pada Mac tahun lalu, Amirudin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin berjumlah RM127.78 juta yang memanfaatkan petugas hadapan, peniaga dan mahasiswa.

Pakej fasa kedua diumumkan pada 1 April 2020 bernilai RM272 juta untuk menangani dampak wabak diikuti Pelan Pemulihan Ekonomi sebanyak RM55.8 juta pada 13 Julai.

Pada 20 Januari tahun ini, Pakej Kita Selangor berjumlah RM73.877 juta diperkenalkan bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani PKP 2.0.

Pakej itu sekali lagi diumumkan pada 9 Jun dengan nilai RM551.6 juta bagi membantu golongan berpendapatan rendah, pelajar, usahawan kecil, petani serta penggiat pelancongan.


Pengarang :