SHAH ALAM, 10 DIS: Galeri Shah Alam merancang penganjuran empat pameran secara fizikal pada tahun hadapan, kata pengarahnya.
Alina Abdullah berkata dalam masa sama pihaknya juga bakal melaksanakan bengkel serta seminar secara maya bagi memberi peluang kepada pengkarya luar Selangor untuk sertainya.
“Kita berpenglaman dua tahun lakukan aktiviti termasuk pameran secara dalam talian. Jika PKP ( Perintah Kawalan Pergerakan) berulang, kita pilih kaedah ini.
“Namun secara jujurnya pameran terbuka dan fizikal lebih memberi kepuasan kerana kita boleh lihat serta menghayati hasil karya,” katanya ditemui pada majlis meraikan penerima Anugerah Insentif Pameran Terbuka Galeri Shah Alam 2021.
Susulan penularan Covid-19 sejak Mac tahun lalu, Galeri Shah Alam ditutup beberapa kali sementara waktu sebagai langkah mengekang wabak.
Galeri terletak di Seksyen 14 di sini kembali dibuka pada 10 September lalu selepas Selangor memasuki fasa empat Pelan Pemulihan Negara namun terhad kepada lawatan janji temu.