SHAH ALAM, 8 FEB: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) hari ini mengunjungi tiga usahawannya yang berjaya dalam perniagaan menerusi Program Kembara Sukses Hijrah 2022.
Tiga usahawan tersebut ialah Ikon Usahawan Sukses Hijrah Mior Amin Badalishah merupakan pengusaha rangkaian restoran dan dua Usahawan Sukses iaitu Mahmud Mastam, pengusaha produk makanan dan Norliza Aizul Zulkifli merupakan pengusaha produk kesihatan dan kecantikan.
Pengarah Eksekutif Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor berkata ketiga-tiga usahawan ini mempunyai cerita kejayaan tersendiri daripada segi jualan dan berketerampilan dalam perniagaan masing-masing.
“Tujuan lawatan diadakan untuk melihat sendiri perniagaan dijalankan usahawan Hijrah dan berkongsi pandangan supaya peminjam dapat mengembangkan perniagaan mereka.
“Menerusi lawatan ini, kita mencadangkan supaya pengusaha makanan membina reban arnab dengan lebih tersusun dan usahawan produk kecantikan membuka kilang di Selangor berbanding di Melaka,” katanya.
Hijrah menawarkan tujuh skim pembiayaan bagi membantu usahawan mengembangkan perniagaan mereka iaitu i-Bisnes, Zero to Hero, Niaga Darul Ehsan (NaDI), Go Digital, i-Lestari, i-Agro dan i-Bermusim.
Pembiayaan di bawah inisiatif peduli rakyat itu boleh dimohon menerusi pautan http://mikrokredit.selangor.gov.my/e-hijrah/login dan maklumat lanjut di www.hijrahselangor.com.