Model Rumah Idaman yang ditawarkan Kerajaan Negeri berkeluasan 1,000 kaki persegi dengan harga RM250,000 seunit. Foto laman web Idaman Selangor
AGENDANASIONAL

4,819 unit Rumah Idaman dibangunkan, projek di Hulu Langat hampir siap

SHAH ALAM, 17 MAC: Sebanyak 4,819 unit Rumah Idaman Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI sedang dibangunkan di tiga daerah negeri ini.

Menurut EXCO Perumahan Rodziah Ismail, projek pembinaan 2,059 unit rumah di Hulu Langat kini mencecah 95 peratus dengan jangkaan siap pada tahun ini.

Manakala status pembangunan 1,448 unit rumah di Sepang dan 1,312 unit di Kuala Langat yang dimulakan tahun ini pula mencapai 15 peratus.

“Insentif galakan pembinaan rumah mampu milik pasca Covid-19 mula diperkenalkan pada 2020. Sehingga kini, masih belum ada projek yang siap sepenuhnya di lapangan,” katanya.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Semenyih Zakaria Hanafi berhubung projek Rumah Idaman yang sudah siap selain punca projek lambat bermula dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Mengulas perkara itu, Rodziah berkata sebanyak 39,485 unit Rumah Idaman dalam perancangan pembinaan di Petaling, Klang, Gombak, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Jelasnya, perancangan projek mengambil masa panjang berikutan perlu mendapat kelulusan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) selain kontraktor menarik diri.

“MBI selaku penyelaras projek masih dalam proses memuktamadkan perjanjian usahasama bersama pemaju dan ada kontraktor menarik diri daripada tawaran awal menyebabkan lantikan perlu dibuat semula.

“Terdapat juga kes pemaju dikehendaki meminda kelulusan pembangunan daripada PBT untuk disesuaikan dengan keadaan sedia ada di lapangan selain faktor pandemik Covid-19,” katanya lagi.

 


Pengarang :