EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim menjawab soalan dikemukakan wakil rakyat dalam sidang Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, Shah Alam pada 16 Mac 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Kerajaan Negeri kenal pasti lokasi tempatkan lembu terbiar, berkeliaran

SHAH ALAM, 17 MAC: Kerajaan Negeri sedang mengenal pasti beberapa kawasan translokasi bagi menempatkan lembu terbiar dan berkeliaran yang boleh mendatangkan bahaya kepada orang awam.

EXCO pemodenan pertanian dan industri asas tani berkata setakat ini translokasi lembu di Olak Lempit sedang dibangunkan fasa kedua, namun ia tidak mampu menampung jumlah lembu terbiar.

“Berdasarkan rekod ada 82 pemilik mempunyai 4,000 ekor lembu di seluruh Selangor dan saya yakin ada lagi sebenarnya tetapi mengambil masa untuk kita rekodkan kerana jumlahnya yang banyak.

“Kita akan sediakan translokasi ini berperingkat jika mereka masih berdegil, tindakan drastik akan diambil sebab ia bukan sahaja ganggu keselamatan jalan raya tetapi kehidupan masyarakat hingga masuk ke hospital, pasar raya dan sebagainya,” kata Ir Izham Hashim pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri (ADN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berhubung jumlah kes kemalangan akibat lembu berkeliaran dan tindakan diambil Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah itu.

Berkaitan isu tersebut, Izham berkata pihaknya akan mendapatkan statistik berkenaan dari pihak polis.

Terdahulu Izham menjawab soalan berkaitan lembu berkeliaran ditanya ADN Jeram di kawasan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dan berdasarkan rekod sebanyak 17 ekor lembu telah disita pada 2021.


Pengarang :