Taman Tasik Milenium, Ampang Pecah di Kuala Kubu Bharu. Foto ihsan Facebook MDHS
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kajian sumber air bawah tanah perlu dipercepat, siap siaga depani kemarau

SHAH ALAM, 22 MAC: Kajian sumber air bawah tanah, tasik dan lombong perlu segera dilaksana sebagai persediaan menghadapi kemarau yang diramal berlaku pada 2025.

Ahli Dewan Negeri Sentosa berkata sesi libat urus bersama pemilik tanah juga harus dipercepat bagi mendapat persetujuan menggunakan sumber air mereka sebagai alternatif ketika kecemasan.

Dr G Gunaraj turut mencadangkan kajian teknologi rawatan air bawah tanah dibuat berikutan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia tiada kepakaran itu selain hanya mampu membina telaga.

“Kita mengambil maklum bukan semua sumber air bawah tanah yang dikenal pasti setakat ini berupaya dibekal kepada loji rawatan air kerana jumlah kapasitinya rendah.

“Tetapi kita berpendapat kajian lanjut perlu dilaksana bagi membolehkan ia (air) disalur untuk kegunaan komuniti, swasta atau industri,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor semalam.

Beliau berkata tambahan infrastruktur dan peruntukan juga harus dikenal pasti bagi mendepani bencana itu selain menubuhkan sistem komunikasi yang efektif terhadap masyarakat.

Dr Gunaraj turut melihat kewajaran penubuhan tatacara operasi piawai (SOP) khas antara agensi mengikut tahap keseriusan iaitu ringan, sederhana dan bahaya.

“Memandangkan ramalan cuaca tepat hanya boleh dibekalkan antara dua hingga enam bulan sebelum kejadian, pembinaan infrastruktur tambahan dan perancangan rumit tidak boleh dilaksana dalam tempoh singkat.

“Perancangan berdasarkan senario kes terburuk perlu segera dibuat bagi memastikan sumber air tidak terputus untuk rakyat Selangor jika berlaku kemarau berpanjangan,” katanya lagi.


Pengarang :