SUBANG JAYA, 25 MAC: Rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) menyasarkan kutipan jualan sehingga RM300,000 menerusi kempen Mydin Prihatin Syawal 2022.
Pengarah Urusan Mydin Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata kutipan tersebut akan diagihkan kepada golongan sasar di seluruh negara seperti warga emas, asnaf, anak yatim dan orang kelainan upaya.
“Sebanyak 51 jenama pembekal strategik Mydin turut mengambil bahagian dalam kempen bermula 1 Mac sehingga 22 Mei.
“Setiap pembelian produk terpilih di seluruh cawangan Mydin, berjumlah RM0.05 sehingga RM1 akan disalurkan ke dana Mydin Prihatin seterusnya diagihkan dalam bentuk kelengkapan baju raya atau keperluan dapur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kempen Senyuman Syawal dan Pelancaran Kempen Mydin Prihatin Syawal 2022 di Pasaraya Mydin USJ, Subang Jaya di sini semalam.
Turut hadir dan merasmikan majlis Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
Ameer Ali berkata pihaknya mengalu-alukan masyarakat membeli belah di pasar raya tersebut sambil menderma di samping membantu golongan memerlukan.
“Pelbagai tawaran menarik sepanjang kempen ini berlangsung termasuk peraduan, potongan istimewa bagi barangan keperluan dapur, pakaian dan kelengkapan rumah,” katanya.