Bermula 1 April, pengembara yang tiba di pintu sempadan antarabangsa perlu membuat ujian professional kit ujian pantas antigen (RTK-Ag) dalam masa 24 jam sama ada di dalam lapangan terbang atau di klinik dengan mengeluarkan kos sendiri. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MAHB: Tidak perlu buat ujian RTK-AG di lapangan terbang

PUTRAJAYA, 8 APRIL: Pengembara tidak perlu membuat kit ujian pantas antigen (RTK-AG) di lapangan terbang, jelas pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) susulan kekeliruan mengenai keperluan melakukan ujian RTK-AG sebaik sahaja mereka tiba di Malaysia.

MAHB berkata tatacara operasi piawai (SOP) terkini yang diumumkan kerajaan untuk pembukaan sempadan hanya memerlukan pengembara antarabangsa melakukan ujian RTK-AG dalam tempoh 24 jam sebaik tiba di Malaysia di mana-mana kemudahan kesihatan swasta termasuk klinik dan hospital pilihan mereka.

“Bukan keperluan mandatori untuk melakukan ujian itu sebaik sahaja di lapangan terbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini menafikan dakwaan bahawa pengembara dikehendaki melakukan ujian RTK-AG di lapangan terbang.

MAHB berkata kemudahan melakukan ujian itu disediakan untuk penumpang yang ingin untuk melakukan ujian itu sebaik sahaja ketibaan mereka di lapangan terbang.

Terdapat empat pengendali kemudahan kesihatan swasta yang memberikan perkhidmatan mereka di empat lapangan terbang berlainan.

Syarikat berkenaan adalah BP Clinical Lab Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Edgenta UEMS Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, MYEG Services Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Gribbles Pathology (M) Sdn Bhd di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Malaysia membuka semula sempadannya pada 1 April lalu selari dengan Fasa Peralihan ke Endemik.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 24 Mac lepas berkata pengembara dikehendaki menjalani ujian RTK-AG profesional sama ada di kemudahan kesihatan swasta di pintu masuk sempadan negara atau di luar premis dalam tempoh 24 jam kerana kegagalan berbuat demikian mereka boleh mengakibatkan mereka diusir.

Kerajaan juga mengumumkan pengecualian ujian sebaik sahaja ketibaan pengembara antara Malaysia dan Singapura untuk individu yang lengkap divaksin sebagai sebahagian daripada protokol spesifik antara kedua-dua negara. Mereka yang menggunakan laluan udara antara kedua-dua negara hanya diperlukan untuk melakukan ujian RTK-AG dua hari sebelum berlepas.

– BERNAMA

 


Pengarang :