ADN Bukit Gasing R Rajiv menunjukkan aplikasi Kumpool di pejabatnya di Petaling Jaya pada 14 April 2022. Foto MUSTAKIM RAMLI/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Khidmat van-panggilan Bukit Gasing lebih mudah, cepat berbanding bas

PETALING JAYA, 15 APRIL: Lebih mudah dan cepat adalah faktor Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Gasing menggunakan perkhidmatan van-panggilan (van-hailing) menerusi aplikasi Kumpool.

Wakil rakyatnya R Rajiv berkata pihaknya bukan menolak penggunaan bas dalam kalangan penduduk tetapi tidak semua laluan di kawasan terbabit dimasuki kenderaan berkenaan.

“Nak kumpul semua orang ke perhentian bas mereka perlu berjalan kaki jauh kalau nak dekat perlu tambah perhentian bas jadi tak praktikal… kalau lihat sekitar Petaling Jaya kebanyakan bas kosong.

“Contoh, kalau saya di Seksyen 14 nak ke Sekyen 7 pandu kereta hanya 10 minit tetapi kalau nak jalan ke perhentian bas, tunggu bas dan mungkin perlu tukar bas mungkin sejam,” katanya ketika ditemui.

Beliau berkata situasi itu menyebabkan penduduk tidak menggunakan bas dan memilih memandu sendiri yang kemudiannya menyebabkan kesesakan lalu lintas serta masalah parkir.

“Sebab itu kita perkenal Kumpool, nak jalan kaki tak lama kerana ada 130 perhentian dan hanya perlu pesan melalui aplikasi. Jadi boleh rancang perjalanan dengan lebih mudah.

“Perkhidmatan sama dan selesa seperti Grab tetapi kosnya lebih rendah iaitu RM1 bagi setiap perjalanan. Jika ramai guna perkhidmatan ini secara tak langsung masalah lalu lintas dan parkir dapat dikurangkan,” katanya.

Rajiv memaklumkan setakat ini sebanyak dua van digunakan dan akan ditambah jika mendapat sambutan. Perkhidmatan ini bermula jam 8 pagi sehingga 8 malam.

Pada 11 April lalu, DUN Bukit Gasing melancarkan perkhidmatan van-panggilan untuk penduduk sekitar Petaling Jaya dengan tambang serendah RM1.

Mereka yang ingin mendapatkan khidmat tersebut perlu memuat turun aplikasi Kumpool yang mana 10,000 penumpang awal akan menaikinya secara percuma.


Pengarang :