AGENDA NASIONAL

Tiada rakyat Malaysia terlibat letupan paip gas, kemalangan bas di Mesir

PUTRAJAYA, 15 APRIL: Tiada rakyat Malaysia yang terkesan dalam dua insiden di Mesir iaitu letupan besar saluran paip gas di Nasr City, Kaherah pada Khamis dan kemalangan melibatkan sebuah bas di Aswan pada Rabu.

Kementerian Luar Negeri dalam mengesahkan hal ini berkata Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah telah berhubung dengan rakyat Malaysia, terutamanya pelajar-pelajar yang menginap di sekitar Nasr City bagi memastikan keselamatan mereka.

Rakyat Malaysia juga dinasihatkan sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan masing-masing, kata kementerian melalui kenyataan Khamis malam.

Mereka yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah di Mesir 21, Al Aanab Street, Mohandessine, Giza, atau hubungi melalui Tel: +201200276388 atau E-mel: [email protected]

Menurut laporan media Mesir letupan berhampiran Al-Ahly Club di Nasr City menyebabkan kebakaran besar dan kemalangan bas dengan sebuah lori di Aswan pula menyebabkan 10 orang maut termasuk lima pelancong asing.

-BERNAMA


Pengarang :