Petugas kesihatan mengekstrak sampel saringan Covid-19 bagi mengesahkan status kes di Institut Penyelidikan Perubatan, Shah Alam pada 1 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

4,006 kes baharu Covid-19 semalam, 32.15 peratus kategori satu

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Sebanyak 4,006 kes baharu Covid-19 dicatatkan semalam dengan 32.15 peratus daripadanya adalah Kategori 1 dan 67.25 peratus Kategori 2, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menurutnya daripada jumlah itu, sebanyak 12 kes atau 0.30 peratus adalah Kategori 3, manakala Kategori 4 dan 5 masing-masing mencatatkan enam kes atau 0.15 peratus.

Daripada keseluruhan 24 kes bagi Kategori 3, 4 dan 5, lapan kes tidak divaksin atau belum lengkap vaksinasi, sembilan kes lagi telah mendapat dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak manakala tujuh kes telah menerima dos penggalak. Daripada jumlah itu, sembilan kes berumur 60 tahun dan ke atas manakala 12 kes mempunyai komorbid.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan kumulatif kes Covid-19 dalam negara kini adalah 4,431,073 selain satu kluster baharu dilaporkan semalam menjadikan jumlah kluster aktif adalah 97 kluster.

Selain itu, sebanyak 165 kes dimasukkan ke hospital dengan 91 adalah Kategori 1 dan 2 manakala 74 kes adalah Kategori 3, 4 dan 5.

Jumlah kes sembuh pula adalah 10,223 menjadikan kumulatif kes sembuh dalam negara adalah 4,320,822.

Dr Noor Hisham berkata Malaysia mencatatkan kadar kebolehjangkitan Covid-19 (nilai Rt) 0.77 semalam dengan Putrajaya merekodkan kadar tertinggi iaitu 1.15.

– BERNAMA


Pengarang :