Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj. Foto Facebook Selangor Royal Office
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

Sultan seru umat Islam hidup muafakat, kawal nafsu, elak hasutan iblis

SHAH ALAM, 5 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru umat Islam di negeri ini supaya sentiasa bersyukur dan tidak leka dalam menyambut perayaan.

Menurut Selangor Royal Office di Facebook, Baginda juga bertitah umat Islam perlu bersatu, tidak berburuk sangka dan menghina antara satu sama lain meskipun berbeza fahaman politik.

“Janganlah kerana berbeza fahaman politik menjadi penyebab runtuh dan binasa budi pekerti mulia. Janganlah menabur fitnah yang membawa ummah menjadi punah dan hindarilah caci-mencaci sesama sendiri kerana kelak kita yang rugi.

“Jauhilah perangkap mainan nafsu, bisikan iblis dan hasutan syaitan yang mahukan permusuhan dan pergaduhan yang membawa kehancuran bangsa dan negara,” titah Baginda.

Selain itu, Baginda juga mahu seluruh umat Islam terus hidup bermasyarakat dengan penuh muafakat, saling hormat antara satu sama lain supaya hidup sihat dan selamat.

“Jagalah keluarga masing-masing dengan penuh rasa tanggungjawab dan kasih sayang di samping memperolehi harta yang halal lagi berkat agar kekal bahagia di dunia dan akhirat,” titah Baginda.

Baginda bertitah, rakyat perlu memahami dan menghayati inti pati khutbah Aidilfitri bertajuk ‘Ramadan Diingati, Idulfitri Disyukuri’ yang dibacakan khatib di masjid dan surau seluruh negeri pada 1 Syawal lalu.

“Kedatangan Aidilfitri yang sangat dinantikan ini pastinya disambut dengan penuh ceria, hormat-menghormati, ziarah-menziarahi dan bermaaf-maafan. Namun janganlah pula di bulan kemuliaan ini dicemari dengan dosa dan noda,” titah Baginda.


Pengarang :