HULU LANGAT, 14 MEI: Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor meminta seluruh ahli parti supaya bersaing cara sihat sepanjang proses pemilihan.
Dato’ Seri Amirudin Shari yang bertanding jawatan naib presiden juga berharap semua calon pada semua peringkat berusaha mengelak sengketa atau menjatuhkan antara satu sama lain.
“Ini bukan masanya kita tajamkan permusuhan, jatuh menjatuhkan. Bersaing secara sihat dan dapatkan kemenangan dengan pilih yang terbaik.
“Pemilihan terbaik yang akan selesaikan dan beri keputusan baik,” katanya dalam program Rapat Mega Cabang Pekan Semenyih yang disekalikan dengan rumah terbuka Aidilfitri KEADILAN Hulu Langat di sini petang ini.
Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar juga mengajak ahli parti untuk mengerah kekuatan dalam mengukuhkan parti selepas KEADILAN berdepan pengkhianatan menerusi Langkah Sheraton.
“Ini masanya kita ‘move-on’ kerana di luar bukan soal kita tetapi melibatkan rakyat. Bagaimana mereka harus dibela dan teruskan program merancakkan ekonomi,” tambah beliau lagi.
Shamsul Iskandar Md Akin yang bertanding kerusi naib presiden pula berharap ahli parti memilih calon yang mampu membawa parti ke peringkat lebih tinggi menerusi gabungan idealisme lama dan baharu.
“Di Selangor, saya yakin parti KEADILAN akan terus memerintah dan membela nasib rakyat,” kata ahli parlimen Hang Tuah Jaya.