Orang ramai membeli barangan keperluan harian ketika Karnival Jualan Mega Prihatin di pekarangan Stadium Shah Alam 30 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Program Intervensi Ehsan manfaat 60,000 keluarga

SHAH ALAM, 19 MEI: Program Intervensi Ehsan berjaya memanfaatkan seramai 60,000 keluarga sejak dilaksana Disember tahun lalu di lebih 50 lokasi negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif berkonsepkan Jualan Prihatin Rakyat memberi peluang kepada penduduk khususnya di kawasan luar bandar mendapat akses bekalan makanan segar secukupnya.

Menurut beliau, jualan ayam, telur, daging, ikan dan sayur pada harga berpatutan memberi penjimatan kepada pembeli antara 20 hingga 25 peratus berbanding pasaran.

“Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melancarkan program ini sebagai inisiatif memastikan rakyat mendapat akses makanan segar yang cukup.

“Usaha dilakukan hanyalah dalam tempoh sementara bagi mengelak bebanan berterusan rakyat dan memerlukan penyelesaian makanan asasi bagi mengelak bergantung kepada bekalan import,” katanya.

Beliau berucap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) rentas Selangor dan Negeri Sembilan bagi projek tanaman jagung bijirin di Dewan Orkid, PKPS di sini semalam.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Dato’ Seri Aminuddin Harun, EXCO Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Ir Izham Hashim serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PKPS Dr Mohamad Khairil Mohamad Razi.

Dalam pada itu, Amirudin berkata projek tanaman di Gemas, Negeri Sembilan dan Kuala Langat Selatan, Selangor adalah kesinambungan kepada program intervensi selepas dibincangkan Ir Izham dan pengurusan kanan perbadanan terbabit.

“Kaedah ini diteroka bagi menstabilkan harga makanan ayam dengan memberi tumpuan kepada pembangunan tanaman jagung yang menjadi antara sumber asas bahan makanan ternakan ruminan mahupun ayam dalam negara.

“Oleh sebab itu kita tidak boleh hanya menumpu usaha intervensi sebagaimana dilakukan sebelum ini,” katanya lagi.


Pengarang :