Pekerja KDEB Waste Management mengutip sampah pukal di sekitar Taman Buana, Petaling Jaya. Foto Facebook KDEBWM.
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

KDEBWM: Musim perayaan, kutipan sampah bertambah lebih 1,000 tan

SHAH ALAM, 24 MEI: Kutipan sampah domestik di Selangor mencatat peningkatan 30 peratus pada hari minggu sepanjang Syawal, kata pengarah urusan KDEB Waste Management (KDEBWM).

Ramli Mohd Tahir berkata pertambahan lebih 1,000 tan sisa pada Sabtu dan Ahad disebabkan banyak rumah terbuka Aidilfitri sehingga kontraktor pembersihan perlu melakukan dua pusingan kutipan di lokasi tertentu.

“Jika hari biasa sampah dikutip antara 6,500 hingga 7,000 tan sehari, tetapi pada bulan ini kutipan itu meningkat terutama pada hari minggu kerana banyak lambakan sampah dari rumah, kedai dan rumah terbuka.

“Pekerja pembersihan cuba kutip sebaik mungkin dan kita memohon maaf sekiranya mereka terculas atau berlaku kelewatan kutipan,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri KDEBWM di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini.

Turut hadir EXCO Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KDEBWM Ng Sze Han, wakil rakyat Selangor dan Pegawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Mengulas lanjut Ramli berkata kontraktor pembersihan terpaksa bekerja lebih masa bagi menyelesaikan kutipan sampah di seluruh kawasan setiap hari.

“Apabila sampah banyak memang beri masalah kepada kita. Ada pekerja yang tidak sihat dan lori sampah rosak, jadi kita harap masyarakat boleh bersama kawal janaan sampah,” katanya.


Pengarang :