SHAH ALAM, 26 MEI: Banjir kilat yang melanda Sekinchan semalam sudah surut, kata wakil rakyatnya, Ng Suee Lim.
Beliau berkata, hanya beberapa kawasan seperti Pasar Awam Sekinchan masih digenangi air, namun dijangka surut sepenuhnya petang ini.
“Saya telah arahkan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Pusat Khidmat Masyarakat termasuk Ahli Majlis serta ketua kampung untuk membantu mangsa banjir.
“Mereka juga diminta membuat laporan jumlah mangsa yang terkesan untuk didaftarkan bagi memperoleh bantuan menerusi Tabung Bencana Daerah,” katanya kepada Selangorkini.
Katanya bagi mengelak berlaku lambakan sampah pasca banjir, pihaknya turut meminta bantuan KDEB Waste Management (KDEBWM).
Semalam, ribuan rumah sekitar Sekinchan dinaiki air hampir setengah meter susulan hujan lebat antara 11 pagi hingga 2 petang.
Hujan lebat sejak pagi yang melanda Lembah Klang itu turut menyebabkan beberapa jalan di ibu kota ditakungi air antaranya Jalan Sultan Ismail, Jalan Duta Mas dan Jalan Ampang serta Jalan Dang Wangi.