Suasana pengundian secara fizikal ketika pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di Dewan Beringin Sri Gombak, Batu Caves pada 21 Mei 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Pemilihan KEADILAN: Pencalonan ahli majlis pusat, muda, wanita secara dalam talian dilanjut hingga 31 Mei

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Tempoh pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Majlis Pimpinan Wanita secara dalam talian yang bermula 29 Mei (esok) dilanjutkan sehingga 31 Mei ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) KEADILAN Dr Zaliha Mustafa berkata bagi pencalonan menerusi aplikasi ADIL, masa pencalonan bermula 12.01 tengah malam 29 Mei hingga 11.59 malam 31 Mei.

Bagaimanapun katanya, pencalonan secara fizikal kekal dilaksanakan hanya sehari iaitu pada 29 Mei, bermula 9 pagi hingga 5 petang, di pusat pencalonan di Ibu Pejabat KEADILAN, Tropicana Petaling Jaya.

“Semua urusan JPP dan perjalanan JPP adalah menurut Peraturan Pemilihan dan Tatacara Pemilihan Parti Pindaan 21 Februari 2022 ,” katanya menerusi notis makluman di Facebook rasmi Pemilihan KEADILAN 2022, hari ini.

Sebelum ini JPP menetapkan tempoh pencalonan bagi pemilihan 20 MPP, AMK dan Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN sama ada secara dalam talian atau fizikal ditetapkan sehari sahaja iaitu pada 29 Mei.

Berdasarkan takwim Pemilihan KEADILAN 2022, proses pengundian dan keputusan bagi 20 jawatan AMK dan wanita dijadualkan berlangsung pada Kongress AMK dan Wanita pada 24 Jun ini, manakala pengundian dan keputusan bagi 20 jawatan MPP pada Kongres Nasional (25 Jun).

– BERNAMA

 


Pengarang :