SHAH ALAM, 8 JUN: Sebanyak RM1.3 juta diperuntukkan bagi membaik pulih 12 jalan raya rosak di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati tahun ini.
Wakil rakyatnya Juwairiya Zulkifli berkata kos projek itu menggunakan peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (Marris).
“Kita sering mendapat aduan daripada penduduk bahawa permukaan beberapa jalan raya di sini agak teruk dan bimbang sekiranya ia mendatangkan bahaya kepada pengguna.
“Justeru, saya mengambil keputusan untuk menggunakan peruntukan Marris DUN Bukit Melawati bagi membaik pulih jalan-jalan ini demi keselesaan semua,” katanya kepada SelangorKini.
Juwairiya berkata proses melibatkan semua jalan raya terbabit dibuat secara berperingkat dan setakat ini kira-kira lima laluan sudah siap serta dapat digunakan sepenuhnya.
“Saya berharap pengguna jalan raya terutama penduduk di sini selamat dan selesa dengan penyelenggaraan ini selain dapat memanfaatkan sebaiknya,” katanya.
Antara jalan yang tersenarai untuk dibaik pulih adalah Jalan Kilang, Kampung Api-Api; Jalan Kampung India Batu 7 Asahan, Bestari Jaya; Jalan Raja Uda dan Jalan Pauh.