Suasana di pekarangan Stadium Nasional di Bukit Jalil menjelang perlawanan Kumpulan E saingan Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain yang dijadual bermula 9 malam ini. Foto Facebook Bernama
AGENDASUKANKINI

Kelayakan Piala Asia: Lautan kuning-hitam banjiri Stadium Nasional

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Cuaca mendung dan hujan rintik tidak dapat menandingi kehangatan keadaan di pekarangan Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini menjelang perlawanan kedua Kumpulan E kempen Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bahrain malam ini.

Setakat 6 petang, stadium keramat skuad Harimau Malaya itu sudah dibanjiri peminat tempatan berbeza latar belakang yang rata-ratanya menggayakan jersi pasukan negara berwarna kuning dan hitam simbolik sokongan kepada skuad Malaysia.

Suasana bertambah rancak dengan gema paluan gendang dan sorakan kumpulan penyokong tegar skuad kebangsaan Ultras Malaya yang dijangka berterusan hingga ke dalam stadium apabila perlawanan berlangsung.

Dianggarkan lebih 60,000 penonton bakal memenuhi stadium malam ini apabila difahamkan lebih 61,000 tiket telah terjual.

Selain gelagat peminat, pekarangan Stadium Nasional diserikan dengan pelbagai acara dan aktiviti yang menghiburkan penyokong serta jualan untuk turut menyemarakkan keadaan menjelang sepak mula yang dijadualkan pada 9 malam ini.

Turut kelihatan kumpulan peminat Bahrain yang mengenakan pakaian berwarna putih dan merah.

Pintu pagar Stadium Nasional telah dibuka kepada penonton seawal satu lagi perlawanan Kumpulan E antara Bangladesh dan Turkmenistan yang bermula pada 5.15 petang.

Bagaimanapun, keadaan di Stesen LRT Bukit Jalil mula sesak dengan ketibaan penyokong yang memilih untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam namun masih terkawal.

Malaysia dan Bahrain memulakan kempen Kelayakan Piala Asia 2023 dengan cemerlang selepas menewaskan lawan masing-masing Turkmenistan 3-1 dan Bangladesh 2-0 di sini pada Rabu lepas sekali gus berkongsi tiga mata di tangga teratas Kumpulan E.

Pada aksi malam ini, pasukan negara kendalian Kim Pan Gon menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata bagi mencerahkan peluang layak ke Piala Asia 2023 sementara Bahrain, di bawah bimbingan Helio Sousa, enggan ego tercalar apabila memburu tiga mata.

Sebagai rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada Mei tahun lepas menyaksikan skuad tuan rumah, yang diberi julukan Dilmun’s Warriors menang 2-0 ke atas Malaysia ketika dibimbing bekas ketua jurulatih Tan Cheng Hoe.

– BERNAMA


Pengarang :