Petugas kesihatan mengambil sampel darah peserta program Selangor Saring di Dewan MPAJ Lembah Jaya, Ampang pada 11 Jun 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Selangor Saring mudahkan golongan B40, harap dilaksana lebih kerap

AMPANG, 11 JUN: Program Selangor Saring memudahkan golongan berpendapatan rendah (B40) untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa berkata rata-rata individu turut berharap program itu dilaksanakan sekurang-kurangnya dua kali setahun.

“Ramai memuji proses saringan ini tidak perlu menunggu lama seperti di klinik kesihatan kerajaan manakala di hospital swasta pula perlukan bayaran, sudah pasti ramai tidak mampu.

Penyelaras DUN Bukit Antarabangsa, Suzana Shaharudin

“Oleh itu, rata-rata peserta hadir hari ini berterima kasih dan harap program berterusan,” kata Suzana Shaharudin kepada SelangorKini.

Beliau ditemui pada program Selangor Saring peringkat DUN Bukit Antarabangsa dan DUN Lembah Jaya di Dewan Lembah Jaya dekat sini hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mengalu-alukan penduduk sekitar mengambil peluang mendapatkan rawatan kesihatan secara percuma itu di semua DUN berhampiran sehingga September ini.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM3.4 juta bagi menjayakan Selangor Saring yang bakal memanfaatkan 39,000 penduduk khasnya yang mempunyai sejarah perubatan keluarga, masalah obesiti dan mengamalkan gaya hidup tidak sihat.

Program bermula pada 22 Mei hingga 4 September itu menawarkan saringan fizikal, ujian darah dan air kencing, mata, servik dan kanser payu dara, ujian darah najis okulta atau kolorektal serta prostat.


Pengarang :