Kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya menjalankan kegiatan penyemburan asap di kawasan Taman Tasik Tambahan Ampang Jaya pada 11 Jun 2022. Foto Facebook MPAJ
PBTSELANGOR

MPAJ: Semburan asap, hapus tempat pembiakan nyamuk bagi kawal kes denggi

SHAH ALAM, 13 JUN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengadakan kegiatan penyemburan asap pada Sabtu lalu di kawasan Taman Tasik Tambahan susulan peningkatan kes denggi di kawasan itu.

MPAJ berkata, kegiatan penyemburan asap itu dilakukan mulai jam 5.30 petang hingga 8.30 malam iaitu ketika nyamuk aktif mencari mangsa.

“MPAJ akan melakukan kerja penyemburan asap pada setiap petang khususnya di kawasan yang mencatatkan kes denggi yang tinggi.

“Oleh itu, orang ramai diminta memberikan kerjasama dengan menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di sekitar kawasan anda,” katanya di Facebook.

Selain itu, MPAJ juga menyarankan penduduk supaya memasukkan racun jentik-jentik di semua bekas yang boleh menakung air di sekitar kediaman mereka.

“Pembiakan jentik-jentik dianggap ‘kacau ganggu’ mengikut seksyen 81 (c) Akta Kerajaan Tempatan dan tindakan boleh diambil di bawah seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan dengan pengeluaran notis untuk menghapuskan kacau ganggu.

“Jika gagal mematuhi notis, boleh disabitkan denda tidak lebih RM 1,000.00 atau penjara tak lebih 6 bulan,” katanya


Pengarang :