Tokoh pendidikan negara Tun Arshad Ayub. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

MB sifatkan pemergian Arshad Ayub hilangnya tokoh tidak kenal penat lelah

SHAH ALAM, 14 JUN: Dato’ Menteri Besar menyifatkan pemergian Tun Arshad Ayub sebagai hilangya seorang tokoh pendidikan yang tidak mengenal erti penat lelah membangun masa depan anak bangsa.

Dato’ Seri Amirudin Shari melalui Twitter mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT.

“Inalillahwainailaihirajiun. Menerima perkhabaran dukacita pemergian Allahyarham Tun Arshad Ayub pagi ini.

“Negara kehilangan seorang tokoh pendidikan yang tidak mengenal erti penat lelah membangun masa depan anak bangsa,” tulisnya.

Arshad, 93, dilaporkan meninggal dunia di sebuah hospital di ibu negara jam 2.06 pagi tadi, selepas dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak Selasa minggu lepas berikutan masalah kesihatan.

Allahyarham adalah pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) sejak 1967 sehingga 1975, sekali gus pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di ITM yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Allahyarham yang dilahirkan di Muar, Johor pernah bertugas sebagai ketua setiausaha kementerian dan berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam serta badan berkanun.


Pengarang :