Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir melepaskan peserta konvoi kereta mini klasik di pekarangan ibu pejabat MBPJ pada 18 Jun 2022. Foto Facebook MBPJ
PBTSELANGOR

Kereta mini klasik bantu promosi ulang tahun ke-16 MBPJ

SHAH ALAM, 18 JUN: Sebanyak 30 kereta mini klasik menyertai program konvoi bagi mempromosi ulang tahun ke-16 bandaraya Petaling Jaya.

Menurut Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), konvoi yang diadakan dengan kerjasama Sports Mini Owners’ Club Malaysia itu mengunjungi enam lokasi pusat beli-belah terbesar di Petaling Jaya.

Pusat beli-belah terbabit adalah Paradigm Mall, The Starling Mall, Giant Hypermarket Kota Damansara, The Curve, Jaya Shopping Centre dan Amcorp Mall.

“Progam ini bermula pada pukul 12.00 tengah hari dan dijangka berakhir pada pukul 6.00 petang dengan jumlah peserta konvoi dan petugas adalah seramai 50 orang dan turut diiringi oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta anggota penguatkuasa MBPJ.

“Antara objektif konvoi ini adalah mengedarkan risalah kepada orang ramai yang datang ke pusat beli-belah tersebut mengenai aktiviti yang akan dijalankan sepanjang bulan Jun hingga julai nanti sempena sambutan ulang tahun bandaraya Petaling Jaya,” katanya di Facebook.

MBPJ berkata, program itu juga memberi peluang kepada orang ramai untuk menyaksikan kereta klasik yang jarang dilihat di jalan raya, sekali gus menghargai kenderaan yang semakin dilupakan itu.

Terdahulu, acara pelepasan konvoi disempurnakan oleh Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Azhan Md Amir di pekarangan ibu pejabat MBPJ.


Pengarang :