Orang ramai mendaftar sebelum menjalani temu duga dalam program Selangor Mega Job Fair 2022 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam pada 11 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Karnival kerjaya capai matlamat, hampir 2,000 individu dapat kerja

SHAH ALAM, 6 JULAI: Seramai 1,996 individu berjaya mendapat pekerjaan menerusi program Selangor Mega Job Fair 2022 yang berlangsung pada 11 dan 12 Jun lalu.

EXCO Pembangunan Modal Insan Mohd Khairuddin Othman berkata seramai 3,601 individu pula dipanggil menghadiri temu duga kali kedua oleh majikan setakat hari ini.

“Kerajaan Selangor berjaya melaksanakan program Selangor Mega Job Fair 2022 pada 11 dan 12 Jun 2022 lalu bertempat di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam.

“Program yang dijalankan selama dua hari itu telah menerima kehadiran seramai 8,201 individu,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Selangor Mega Job Fair 2022 kali pertama berlansung di Pusat Konvensyen MBSA pada 11 dan 12 Jun lalu, disertai lebih 100 syarikat termasuk badan kerajaan dan agensi Kerajaan Negeri.

Antara syarikat turut serta adalah Kumpulan Perangsang Selangor, Daikin Malaysia Sdn Bhd, DHL Express, DRB Hicom Berhad, Giant Malaysia dan Malayan Banking Berhad.

Tidak ketinggalan Media Prima Digital, Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton), Prasarana Malaysia Berhad, Shopee Malaysia, Sport Direct MST Sdn Bhd dan Toyota Auto Body Malaysia Sdn Bhd.

 


Pengarang :