AGENDANASIONAL

Penerbit filem Mat Kilau mohon maaf, akui terlepas pandang logo Finas

SHAH ALAM, 6 JULAI : Penerbit filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan mengakui pihaknya terlepas pandang untuk memberi kredit kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dalam filem dan bahan bercetak.

Abdul Rahman Mt Dali berkata sebagai pendatang baharu dalam bidang perfileman, Studio Kembara masih belum cukup pengalaman mengendalikan perkara seumpama itu.

“Urusan berkaitan pemberian kredit adalah tanggungjawab pihak ketiga yang diamanahkan. Kami tidak sedar logo Finas tidak diletakkan dalam senarai kredit filem itu hinggalah hari berlangsungnya sesi tayangan perdana, baru-baru ini.

“Kesilapan juga berpunca daripada kami yang tidak membuat pemeriksaan terperinci sebelum filem ditayangkan,” katanya seperti dilapor BH Online hari ini.

Abdul Rahman yang juga Pengarah Urusan Studio Kembara menjelaskan tidak timbul konflik dengan Finas sebaliknya sedia memperbaiki kesalahan termasuk bertemu pengurusan agensi itu.

Sebelum ini, Finas mendakwa penerbit filem biografi epik Mat Kilau agal memberi kredit kepada agensi itu dan mengarahkan penguam untuk menyemak isu berkenaan kerana ia bercanggah dalam terma perjanjian.

Filem yang dibarisi ramai pelakon hebat antaranya Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Datuk Jalaluddin Hassan, Namron, Khir Rahman dan Yayan Ruhian berjaya meraih kutipan tiket hampir RM48 juta selepas 11 hari ditayangkan di negara ini, Singapura dan Brunei.


Pengarang :