Seramai 13 wanita menerima tawaran biasiswa dalam Majlis Penyampaian Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Shah Alam pada 12 Julai 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Ada kerjaya stabil tidak halang minat aktivis wanita sambung belajar

SHAH ALAM, 13 JULAI: Memiliki kerjaya stabil sebagai aktivis masyarakat tidak menghalang minat seorang wanita meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi demi menambah ilmu pengetahuan dan pengalaman.

Biarpun sudah lebih dua dekad meninggalkan alam pembelajaran, namun semangat Syarifah Salwa Syed Abdul Rahman Al Attas, 43, berkobar-kobar memulakan pengajian ijazah sarjana muda (ISM) pengurusan sumber manusia pada Mei lalu.

Syarifah Salwa Syed Abdul Rahman Al Attas

Menurut peserta Akademi Kepimpinan Wanita (AKW), dia mengambil keputusan melanjutkan pengajian jarak jauh (PJJ) di Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Bangi selepas menyedari kepentingan pendidikan berterusan khususnya untuk golongan itu.

“Sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya mengambil jurusan Certificate of Business Computing dan berkhidmat bersama Public Bank Berhad sebagai confidential assistant.

“Seterusnya saya bersama Malaysia Airlines sebagai pramugari domestik dan antarabangsa selama 6 tahun dan selama 19 tahun dalam industri media sebagai penerbit dan penyampai berita. Kemudian menyertai AKW selama setahun. Alhamdulillah rezeki saya terpilih menyambung pengajian ke ISM terus dengan tajaan Biasiswa Wanita Berdaya Selangor (WBS).

“Saya harus lipat gandakan usaha berbanding pelajar lebih muda dengan menyiapkan tugasan terlebih dahulu selain menumpukan modul diberikan tutor dan pihak universiti.

“Saya perlu manfaatkan peluang keemasan ini sebaik mungkin. Soal umur tidak penting kerana ia hanyalah pada nombor sahaja, tetapi pembelajaran adalah proses setiap masa,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini, semalam.

Beliau antara 13 pelajar menerima Biasiswa WBS bagi Program Pembelajaran Sepanjang Hayat kohort dua yang disampaikan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli.

Bercerita lanjut, ibu tiga cahaya mata berkata kursus pengurusan sumber manusia dipilih memandangkan ia berkait rapat dengan masyarakat dan jabatan penting dalam sesebuah organisasi.

“Saya harap dapat beri komitmen terbaik dan apa yang dipelajari sepanjang empat tahun lapan bulan dapat diaplikasi dalam kehidupan seharian.

“Pada masa sama ilmu ditimba boleh diterjemahkan kepada komuniti supaya ketamadunan masyarakat kita lebih baik pada masa depan,” katanya.

Rosmayana Abu Rahim

Sementara itu, hasrat Rosmayana Abu Rahim, 45, menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tertunai selepas 16 tahun tertangguh ekoran kekangan masa dan kewangan.

Kini, katanya, dia mampu memberi sepenuh tumpuan terhadap pengajian dalam jurusan sains politik meskipun bergiat aktif sebagai aktivis masyarakat Pusat Wanita Berdaya (PWB) Hulu Kelang.

“Peringkat pengajian terakhir saya ialah ijazah sarjana pendidikan pada 2006. Ketika itu anak sedang membesar ditambah pula faktor ekonomi, jadi masa untuk sambung belajar agak terhad.

“Apabila ditawar biasiswa saya tidak mahu lepaskan. Lagipun saya sudah ada banyak masa untuk diri sendiri dan masyarakat, jadi tiada masalah urus pelajaran,” katanya yang menyasarkan tamat pengajian dalam tempoh tiga tahun.


Pengarang :