Ilustrasi perbicaraan dalam mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Wanita buat komedi berdiri kontroversi didakwa cetus permusuhan, kebencian

SHAH ALAM, 13 JULAI: Seorang wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menimbulkan permusuhan dan kebencian di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Siti Nuramira Abdullah, 26, yang sebelum ini membuat persembahan komedi berdiri dengan mengeluarkan kenyataan kontroversi membabitkan Islam bagaimanapun meminta agar dibicarakan atas pertuduhan tersebut, lapor Malaysiakini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, kebencian permusuhan, niat jahat, atau menjejaskan keharmonian atau perpaduan, atas alasan agama.

Jika didapati bersalah dia boleh dihukum penjara sekurang-kurangnya dua tahun tetapi tidak lebih lima tahun.

Sebelum ini, satu klip video pendek memaparkan seorang wanita yang mengaku menghafaz 15 juzuk al-Quran sebelum bertindak menanggalkan baju kurungnya, tular dan mengejutkan orang ramai.

Aksi wanita yang mengaku berasal dari Kuala Kangsar, Perak berlaku dalam sesi persembahan atas pentas Crackhouse Comedy Club di TTDI, Kuala Lumpur pada 4 Jun.

Peguam tertuduh R Sivaraj memohon anak guamnya dikenakan jaminan minimum RM4,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri di balai polis mengikut keperluan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang menawarkan jaminan RM50,000 atas alasan kes itu mendapat perhatian secara meluas dan kadar jaminan rendah boleh menjejaskan pandangan masyarakat terhadap sistem perundangan dan badan kehakiman.

Hakim Siti Aminah Ghazali kemudiannya menetapkan Siti Nuramirah diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia, selain memerintahkan dia melaporkan diri di balai Brickfields setiap bulan.

Hakim turut memerintahkan Siti Nuramira menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan tidak membuat ulasan berhubung kes itu.

Siti Aminah juga menetapkan 18 Ogos ini untuk sebutan kes tersebut.


Pengarang :