Peniaga menyiapkan tempahan yang dibuat melalui PLATS dan Grab di e-dapur Bandar Utama, Damansara pada 4 Mei 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Latihan pembangunan digital tawar pelbagai manfaat kepada peniaga, penjaja

SHAH ALAM, 13 JULAI: Latihan pembangunan digital yang dijadual bermula suku ketiga tahun ini menawarkan pelbagai manfaat kepada peniaga dan penjaja kecil di seluruh Selangor.

Menurut koordinator Platform Selangor (PLATS) program dengan kerjasama 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mendedahkan usahawan asas pendigitalan perniagaan secara percuma.

“Mereka juga akan diberi bimbingan proses pemilikan lesen daripada PBT selain tatacara pembayaran tanpa tunai dan pengurusan pesanan secara dalam talian.

“Selain itu, pihak kami akan memberi tunjuk ajar pengurusan media sosial dalam perniagaan kepada mereka yang terlibat,” kata Azizul Hussin Zainal Abidin ketika dihubungi.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata seramai 12,234 peniaga dan penjaja kecil menyertai platform promosi itu bagi meluaskan rangkaian perniagaan setakat akhir Jun.

Menurutnya, penyertaan amat memberangsangkan berikutan tiada bayaran dikenakan terhadap peniaga yang mahu berubah ke arah jualan digital.

“Buat masa ini, semua peniaga PLATS terdiri daripada penjual makanan dan minuman. Kita menyasarkan 20,000 peniaga dan penjaja kecil berdaftar dengan platform ini menjelang hujung tahun,” katanya.

PLATS diperkenal pada Ramadan 2020 bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor menerusi platform digital susulan penularan wabak Covid-19.

Pada 11 April tahun lalu, PLATS 2.0 dilancarkan bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan tahun ini pada April yang turut melibatkan kerjasama Rakan Digital Selangor (RDS).


Pengarang :