Wawancara khas Media Selangor bersama Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) di pejabatnya di Bukit Gasing, Petaling Jaya pada 4 Julai 2022. Foto FADZA ISHAK/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Polemik ‘khemah besar’, isu Melayu dan model pentadbiran

SHAH ALAM, 14 JULAI: Usaha sebilangan pimpinan parti politik bagi membentuk ‘khemah besar’ dalam mendepani lawan pada pilihan raya umum akan datang masih berlarutan dan hangat diperkatakan.

Namun, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan sebarang kerjasama dan rundingan tidak sesekali mengadaikan prinsip perjuangan, jauh sekali membelakangi penyokong parti.

Presiden Parti Keadilan Rakyat juga menyentuh model pentadbiran dan isu orang Melayu dalam wawancara eksklusif bersama Ketua Kluster Digital Media Selangor Khairulnizam Bakeri, Ketua Pengarang Selangorkini Fazallah Pit dan Editor Selangor Journal Ida Nadirah Ibrahim pada 4 Julai.

Bahagian 1: Anwar: Kerajaan gagal tangani lonjakan harga, pemimpin ‘berlaga’ sesama sendiri

Dalam ceramah Datuk Seri baru-baru ini ada menyebut ungkapan tolong Melayu ini, tolong siapa? Tolong Melayu yang mana? Boleh Datuk Seri jelaskan dan bagaimana pula untuk imbangi sokongan Melayu dan kaum lain?

Dua isu. Pertama soal kemiskinan, soal pertanian. Kita ada penghasilan padi di Tanjong Karang, majoriti Melayu, ada juga Sekinchan yang (ramai) Cina. Jadi kita tangani, kita tangani bersama. Maknanya majoriti Melayu akan dapat hasilnya. Tetapi tidak kita sisihkan orang Cina.

Kalau kita tingkatkan mutu pendidikan, supaya jangan golongan miskin itu punyai peluang pendidikan yang tidak sama. Saya selalu menekankan tentang apa sebenarnya keadilan? Keadilan ini bukan hanya persamaan tetapi peluang yang sama. Kita kata meritokrasi, keputusan mesti semua 10A. Sekolah mana? Sekolah Kolej Melayu? VI (Victoria Institution)? (Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan) Chong Lin? Jadi di mana Sekolah Menengah Kebangsaan Manek Urai? Sekolah Menengah Kebangsaan Kapit?

Jadi sebab itu tugas kita sebagai pimpinan harus memberi keutamaan (dalam) mengangkat martabat mereka dengan kemudahan yang lebih, peluang dan kemudahan yang lebih baik dan majoritinya Melayu dan Bumiputera.

Sebab itu, saya tidak faham bila mereka mengatakan kurang (utamakan) Melayu. Yang Melayu mereka fikirkan yang kontrak, yang komisen yang bilion-bilion ini. Ini yang difikirkan. Oh, kita tidak ada kontraktor kelas A yang berjaya. Ya boleh diusahakan tetapi yang tersisih itu adalah Melayu. Jadi, itupendekatan saya.

Bagaimana boleh kita mengubah persepsi terhadap isu sebenar Melayu?

Kita terus beri penerangan termasuk menerusi Media Selangor supaya rakyat itu boleh memilih. Pertama, saya sebagai muslim saya tentunya kena perkukuh akidahnya, akhlaknya dan sahsiah keperibadian.

Tapi saya tahu muslim itu dihormati kerana jaminan al-Quran tentang rahmat bagi sekalian alam. Jaminan al-Quran sepertimana kita baca dan dengar tiap khutbah Jumaat. Allah menuntut kita melakukan dan melaksanakan keadilan.

Jadi, kefahaman ini harus juga tertanam dalam kalangan umat. Kemudian, kalau saya sebut tadi pendidikan, kalau kita mahu angkat pendidikan muslim umumnya, majoritinya Melayu yang sekolah-sekolah lebih daifnya Melayu.

Tetapi ada sekolah India di Ijok, di estet yang harus dibela. Jumlahnya lebih kecil. Atau di Kapit, orang Dayak yang bukan Islam. Tapi ini tanggungjawab kerana kita pemerintah. Pemerintah itu harus mengawal kepentingan seluruh rakyatnya. Ini yang dilakukan Saidina Umar al-Khattab (dalam) Khulafa ar-Rasyidin. Ini yang hebat, yang unggulnya (Khalifah) Umar Abdul Aziz. Jangan kita bicara tapi laksanakan berbeda.

Saya percaya manfaat lebih menyeluruh sekiranya kita elak daripada ketirisan, kebocoran dan rasuah yang menelan puluhan bilion. Bukan sahaja soal 1MDB (1Malaysia Development Berhad), Laporan Ketua Audit Negara tiap-tiap tahun menunjukkan berpuluh bilion ringgit bocor ataupun tercicir dan diambil oleh orang-orang atasan. Ini elit politik atasan.

Elit politik bandar yang saya selalu tegur. Kerana kadang-kadang naratif mereka ada benarnya. Kebebasan badan kehakiman yang juga saya perjuangkan, persamaan jantina, peranan wanita yang harus diketengahkan. Itu semua kita setuju. Tetapi, (mereka) kurang dengar tentang keprihatinan rakyat, tentang kemiskinan, tentang kesenjangan kaya-miskin, tentang peluang yang tidak sama. Saya lihat perlu kita minta bukan sahaja orang luar bandar atau desa pedalaman punyai pendedahan dan pencerahan, elit bandar juga perlu pencerahan.

Banyak inisiatif dijayakan Kerajaan Pakatan Harapan terutama Selangor setiap kali rakyat dibebani kesukaran. Jadi, sejauh manakah model pentadbiran negeri-negeri Pakatan Harapan dapat menyakinkan pengundi pada pilihan raya umum akan datang?

Pertama, secara objektif kalau kita lihat kemajuan dan langkah-langkah yang diambil di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang ketimbang (berbanding) negeri lain jauh mengatasi. Tetapi ini perlu pencerahan, perlu makluman, rakyat perlu tahu apa dasar mengenai Pendidikan di Selangor ketimbang negeri lain.

Saya selalu sebut kepada rakan-rakan Menteri Besar dan Ketua Menteri, saya menggesa mereka melakukan sesuatu yang lebih daripada itu kerana perlahan-lahan kita meningkat, mengubah perubahan struktural supaya tidak berlaku terlalu banyak kesenjangan.

Walaupun saya katakan satu permulaan yang sangat baik. Benar saudara sebut di Selangor, apabila ada masalah terus dia (Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari) turun dan cuba menyelesaikan.

Apakah ini akan membantu? Pastinya membantu. Setiap kali saya menemui pimpinan Selangor, saya kata ada satu consolidasi (penyatuan) di Selangor. Perkuatkan kemudian jentera Selangor harus turun ke negeri lain buat penerangan.

Saya pernah umpamanya sekali, lama dahulu, berkempen di Johor Bahru. Kemudian kalangan orang miskin ada yang tanya kepada saya: ‘Tetapi… Anwar ini saya setujulah… tetapi kenapa masjid di Pulau Pinang, azan pun tidak boleh?’ Bagi kita, benda yang paling tidak munasabah. Saya dari Pulau Pinang, masjidnya masih kuat ceramah. Kalau mikrofon baru, kuat lagi. Itu yang kita faham. Jadi, propaganda murahan dan fitnah itu kadang-kadang mengesankan.

Sebab itu, kita jangan pandang ringan walaupun kita tidak tahu berapa ramai, tetapi dia mengesankan sesetengah orang yang menyokong kita tetapi sangsi kerana DAP itu kononnya sudah mengkristiankan Pulau Pinang kemudian menghalang penggunaan pembesar suara. Ini satu pembohongan yang nyata tetapi demikianlah politik picisan dan kotor yang mereka permainkan.

Selepas itu, saya masih ingat lagi, saya beritahu Menteri Besar. Jentera penerangan Selangor tidak boleh puas hati melakukan penerangan di Selangor sahaja kerana segala kebaikan kita tidak diketahui oleh yang di luar. Seperti masalah air, air percuma di Selangor. Kita bercakap di rumah panjang di Sarawak. Tuai rumah (ketua rumah) takut kita tersilap cakap kerana mereka tidak boleh hadam maksud ‘air tak bayar’. Kita anggap ini perkara biasa.

Ini sebab saya katakan kita usaha beri penerangan. Kita sudah tahu di Selangor tetapi tidak boleh puas hati. Tidak setuju, tidak apa tetapi sekurang-kurangnya ada maklumat.

Mengapa pengundi terus mengekalkan Selangor dan Pulau Pinang selama tiga penggal. Melihat perkembangan politik semasa, adakah Datuk Seri yakin sokongan berterusan dalam PRU akan datang?

Saya lihat sebagai anak Pulau Pinang yang duduk di Selangor yang mewakili parlimen di Negeri Sembilan. Saya lihat bahawa kesedaran dan fahaman rakyat itu jauh lebih baik. Saya opitimis kita boleh pertahan, kemenangan bergaya di negeri-negeri ini. Cabaran kita untuk sampaikan maklumat ini di luar.

Umpamanya di Selangor pada peringkat awal 2008, kalau masih ingat. Hari-hari serangan DAP soal ternakan khinzir, soal sekolah tiap hari dan berbulan-bulan. Sekarang kalau di Selangor sudah tidak laku tetapi kalau negeri lain masih digunakan lagi untuk menyerang.

Maknanya, jentera kerajaan, wakil-wakil rakyat jangan pandang ringan dan selesa kerana musuh politik kita akan cari helah untuk mencari fitnah-fitnah baharu kerana orang-orang ini dia ikut Joseph Goebbels (menteri propaganda Nazi).

Dalam teori penerangan Adolf Hitler, ulang-ulang-ulang fitnah akhirnya orang akan percaya. Yang ini dia faham tetapi tentunya faham ini faham yang menyesatkan kerana ini bertentangan dengan nilai Islam. Jadi, bagi kita berbeda daripada politik biasa. Soal nilai integriti, soal akhlak mesti diterap dalam ahli kita.

Menjelang pilihan raya umum, ada perbincangan mengenai ‘khemah besar’. Berapa besar khemah itu jika dilaksanakan Pakatan Harapan dan siapakan yang akan ada di dalamnya?

Khemah besar ini istilah bagi saya dengan polemik yang ada sekarang mengelirukan. Bagi saya KEADILAN, DAP dan Amanah dalam Pakatan Harapan kekuatan unggul yang mesti dibesarkan.

Saya tidak guna ‘khemah besar’. Saya kata mesti merangkul kekuatan. Induknya itu masih KEADILAN dan Pakatan Harapan DAP, Amanah. Induk ini harus diperkukuh dan diperkuat sebab dalam pengalaman kita KEADILAN sebagai satu parti, DAP sebagai sahabat rakan setia dan Amanah itu nampak begitu mantap.

Penyokong Pakatan Harapan (HARAPAN) memasang bendera parti ketika kempen Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 pada 8 November 2021. Foto BERNAMA

Kemudian cuba dirosakkan setelah kita cuba berdamai dengan tokoh-tokoh lain yang dipinggir. Ini menimbulkan ketegangan, keresahan dan pengkhianatan.

Saya sepertimana yang saya percaya, pengkhianatan tidak akan berlaku dalam KEADILAN sendiri kalau tidak didukung oleh tok dalang di luar. Jadi kita tidak boleh nafikan. Kadang-kadang juga sebahagian daripada kita dalam konteks penafian ‘oh ini boleh tidak apa’.

Jadi sebab itu peringatan tentang khemah besar harus kita dengar dengan teliti dan baik. Tetapi kita juga tahu dalam sistem politik negara ini, kita juga harus ada usaha untuk rundingan dan perbincangan.

Macam saya ketua pembangkang, perdana menteri panggil untuk berunding. Saya kena sedia berunding dalam isu-isu yang menyentuh kepentingan rakyat. Saya ketua pembangkang walaupun dalam Pakatan Harapan itu yang terkuat tetapi ada juga parti-parti lain dalam pasukan pembangkang ini harus saya panggil untuk berunding supaya ada persefahaman dalam beberapa isu.

Jadi, kadang-kadang ini dikelirukan. Jadi ada beda antara Anwar Ibrahim sebagai Presiden KEADILAN, Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan dan Anwar sebagai Ketua Pembangkang dan diperluaskan.

Yang kedua dalam menghadapi kekuatan parti kerajaan saya tidak pasti. Sekarang ini nampak BN (Barisan Nasional) nampak menonjol. Apakah perlu ada satu persefahaman supaya tidak ada pertindihan seperti di Johor.

Di Johor seperti mana orang kata kita kalah, kita kalah tetapi dia lupa kalau kita bersaing satu lawan satu, keputusan itu berbeda. Jadi bagi saya, kita jangan terus padam kemungkinan ini. Tetapi mesti ingat, landasannya mesti prinsip. Jangan landasannya itu mengiyakan kepada rasuah, tutup kes mahkamah. Itu ada batasnya.

Secara taktikal Datuk Seri lebih cenderung satu lawan satu ataupun tiga penjuru?

Sebaiknya satu lawan satu tetapi kita mungkin tidak boleh menolak kemungkinan ada persaingan tiga penjuru atau lebih.

Ada kemungkinan bekerjasama dengan Bersatu atau Pejuang? Seandainya berlaku bagaimana reaksi suara akar umbi?

Suara akar umbi selalunya negatif kalau tidak ada penjelasan. Umpamanya Pejuang buat kenyataan dia akan mendukung mana-mana sahaja parti yang menang umpamanya. Ya, itu bagi saya sukar.

Kita kalau ada persefahaman dalam pembahagian kerusi mestilah atas dasar dan prinsipnya. Jadi, saya tidak mahu kata kita menolak perbincangan tapi istilah membuka khemah satu soal lainlah. Bincang itu perlu, satu kewajaran tetapi bukan semestinya kesepakatan.

 


Pengarang :