Fasa pertama projek pembangunan Rumah Idaman di Pangsapuri Idaman Abadi, Persiaran Tropicana Heights, Semenyih, Kajang siap sepenuhnya awal Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Rumah Selangorku dipantau, pastikan projek siap ikut jadual

SHAH ALAM, 14 JULAI: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memantau projek Rumah Selangorku supaya proses pembinaan siap dalam tempoh ditetapkan.

Dato’ Menteri Besar berkata agensi berkenaan juga akan memerhatikan harga perumahan kawalan dan mampu milik dari semasa ke semasa bagi memastikan kriteria dipenuhi.

“Tempat tinggal adalah keperluan asas manusia. Mempunyai kediaman yang selesa dan mampu milik adalah objektif utama membina Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan.

“Kualiti pembinaan dan kemudahan yang disediakan bagi projek-projek perumahan ini dipastikan memenuhi keperluan gaya hidup semasa,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook malam tadi.

Beliau memaklumkan sehingga kini sebanyak 130,545 unit rumah mampu milik melibatkan 76 projek diluluskan untuk membolehkan penduduk negeri ini memiliki rumah sendiri.

“Rakyat Selangor juga boleh menyewa sebahagian rumah sebelum membelinya menerusi Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY) yang menguntungkan,” katanya.

Sebanyak 24,428 unit Rumah Selangorku berjaya disiapkan dan ditawar kepada penduduk sejak 2018 sehingga 15 November 2021.

Rumah jenis C paling banyak siap iaitu 9,294 unit diikuti jenis D (7,822 unit), jenis B (4,122 unit) manakala jenis A (2,019) dan jenis E (1,171).

 


Pengarang :