Orang ramai meninjau gerai pameran usahawan sempena program jelajah usahawan digital Selangor siri 3 anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 16 Julai 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
ADNBERITA UTAMASELANGOR

Jelajah usahawan digital bantu peniaga Kampung Tunku promosi produk

PETALING JAYA, 17 JULAI: Program Jelajah Usahawan Digital Selangor membantu peniaga kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kampung Tunku menambah pendapatan.

Wakil rakyatnya Lim Yi Wei berkata menerusi jelajah itu, peniaga dapat mempromosikan produk masing-masing menerusi platform digital.

“Program anjuran Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) itu menerima maklum balas yang baik daripada usahawan berikutan dapat meluaskan perniagaan.

“Banyak maklumat dikongsi Sidec kepada usahawan termasuk digitalisasi, bayaran dan mempromosi produk,” katanya.

Beliau ditemui pada program jelajah usahawan digital Selangor siri 3 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya yang dirasmikan Setiausaha politik Dato’ Menteri Besar Juwairiya Zulkifli.

Pada masa sama, Yi Wei memaklumkan beliau juga mengambil peluang menganjurkan Festival Pemula PJ menerusi siri jelajah itu dengan bawa beberapa pempamer untuk bantu penduduk Petaling yang ingin memulakan perniagaan.

Jelajah usahawan digital yang mula diperkenalkan sejak 2020 akan berkunjung ke semua daerah sehingga September ini.

Program adalah instrumen penting bagi membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih mudah dan pantas.

Selain Lazada, Shopee dan J&T, jelajah itu turut melibatkan rakan kerja seperti PG Mall, EasyStore, Dropee, Yayasan Hijrah Selangor, Rantaian e-Bekalan Digital Selangor serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia.


Pengarang :