BUDAYARENCANA

Spilt Gravy: Tumpahnya nostalgia seorang bapak

Oleh Azrie Izham Hamzah

Masyarakat timur yang makanan rujinya nasi, pasti ada pelbagai nostalgia dan cita rasa tersendiri ketika menikmatinya. Ada yang gemar berkuah campur, ada yang sukakan satu jenis gulai dan ada yang gemarkan hidangan kering tanpa kuah. Beginilah sebagaimana kita menikmati Spilt Gravy – Ke Mana Tumpahnya Kuah (2022), filem arahan Zahim Albakri yang diadaptasi daripada karya pentas berjudul sama. Filem ini siap dibikin dan sedia untuk ditayang pada 2011. Namun hanya pada tahun 2022, filem ini lulus untuk tayangan.

Ini adalah filem keluarga. Ada Bapak (Rahim Razali) yang perlu berdepan dengan pelbagai ragam dan gelagat anak-anaknya; Zakaria (Zahim Albakri), Kalsom (Bernice Chauly), Darwis (Na’a Murad), Husni (Sean Ghazi), dan Zaitun (Juliana Ibrahim). Kisahnya ringkas, tentang Bapak yang mahu anak-anaknya pulang untuk makan malam bersama sebelum dijemput ajal.

Jit Murad, June dan Zahim Al Bakri yang menulis bersama filem ini ternyata cukup teliti dalam memunculkan nostalgia yang bermain di dalam kepala Bapak.

Nostalgia bapak

How shameful to isolate a memory like that? – Bapak

Nostalgia berasal daripada dua istilah bahasa Yunani klasik. Nostos bermaksud kembali dan algos bermaksud derita. Istilah ini mula digunakan meluas pada abad ke-17 oleh Johannes Hofer yang merujuk nostalgia sebagai gejala kejiwaan. Nostalgia boleh ditafsirkan sebagai keinginan terhadap sesuatu yang telah tiada atau unappeased yearning to return.

Bapak seorang bekas wartawan yang menghabiskan baki usianya dalam keterasingan, ditemani rumah agam berciri kolonial di tengah kepesatan pembangunan Kuala Lumpur. Bapak tinggal bersama anaknya, Darwis. Sesekali, pembantu rumah berbangsa Filipina menjadi teman berbual.

Bapak gemar bercerita tentang nostalgia masa mudanya. Perwatakan, gaya berpakaian, kenangan indah bersama isteri-isteri dan teman wanitanya digambarkan terperinci.

Kerja suntingan dan gerak kamera yang baik membantu menterjemah nostalgia Bapak. Kuasa nostalgia mampu memunculkan ingatan-ingatan dalam bentuk visual. Tim Wildschut dan Constantine Sedikides dari Unviersiti of Southampton menggariskan beberapa gejala yang lazimnya dihadapi golongan lanjut usia. Bapak berhasil menggambarkan aroma, suara rupa dan warna setiap seorang daripada isterinya dengan jelas setiap kali emosinya dirangsang.

Bapak cenderung membayangkan masa silam nya dipenuhi hal indah dan mengukir senyuman, namun bayangan itu dipandu emosinya yang tidak stabil.

Penonton dibawa mengenali Bapak sebagai seorang yang suka bercerita tentang masa lalu. Namun, ada tanda tanya yang ditinggalkan kepada kita semua. Semacam ada sesuatu yang dipendam apabila Bapak bercerita tentang anak angkatnya, Nordin. Memori tentang Nordin inilah yang menjadi faktor ketidakstabilan emosi Bapak.

Bapak masih hidup bersama nostalgia, menganggap keluarganya serba sempurna dan bahagia. Namun realitinya, Bapak perlu berdepan dengan faktor luaran yang melibatkan lima orang anaknya. Keluarga Bapak selepas pemergian kesemua isterinya adalah keluarga yang disfungsi.

Bagi kebanyakan keluarga, makan malam bersama di rumah bukanlah hal yang rumit untuk dilaksanakan. Situasi berbeza yang harus didepani Bapak. Darwis terpaksa menjadi perantara untuk memanggil adik-beradik yang lain untuk pulang dan makan malam. Keadaan menjadi semakin rumit, apabila Bapak secara tiba-tiba menggesa agar anak-anaknya pulang sehari lebih awal untuk makan malam.

Nostalgia Bapak tidak tertumpu kepada ingatan terhadap kenangan bersama isterinya semata-mata. Bapak jelas mengingat masakan kegemaran setiap anaknya. Walaupun ada pembantu, Bapak berkeras ingin memasak sendiri setiap satu hidangan makan malam dengan caranya yang tersendiri. Di sini, dapat diperhatikan bagaimana nostalgia mencetuskan upaya kepada Bapak untuk memastikan ‘kuah’ yang tumpah ke dalam hidangan anak-anaknya adalah daripada air tangannya sendiri.

Dua jenis nostalgia

Why aren’t you listening? – Bapak

Menurut Svetlana Boym yang membicarakan perihal nostalgia dalam The Future of Nostalgia, terdapat dua jenis nostalgia. Pertama, nostalgia restoratif. Nostalgia restoratif menginspirasi seseorang untuk kembali ke masa lalu dan merangsang individu tersebut untuk mengubah atau mencipta semula apa yang sudah berlalu.

Di saat bersendirian atau bersama Darwish, Bapak cenderung untuk membangkit nostalgia sehingga membayangkan dirinya di bawa ke masa lalu. Hal ini dapat diperhati dengan jelas dalam adegan ‘kembalinya’ Bapak ke lantai dansa dan menari bersama Jackie (Diana Danielle) ketika menggamit nostalgia restoratif, pertemuan pertama mereka.

Jenis nostalgia kedua, nostalgia reflektif. Nostalgia ini membenarkan seseorang untuk menerima setiap memori seadanya. Sebagai seorang muslim yang tunduk kepada setiap perintah-Nya, Bapak sedar konsep reda. Bapak menerima hakikat pemergian setiap seorang daripada isterinya.

Pada akhir adegan di meja makan, imej isteri-isteri kepada Bapak menjelma dan kemudian memudar perlahan-lahan. Pesan Bapak ketika ini, agar setiap seorang anaknya menghadiahkan Al-Fatihah kepada mereka yang telah pergi. Bapak sedar tentang fungsi nostalgia sebagai refleksi kepada dirinya yang juga akan menyusuli perjalanan isteri-isterinya, tidak lama lagi.

Tumpahnya nostalgia

Darwis, please message them again! – Bapak

Tim Wildschut turut menegaskan bahawa nostalgia membenarkan seseorang menghargai nilai diri. Sama ada penggamit nostalgia atau pendengar nostalgia tersebut, kedua-duanya mempunyai rangsangan untuk saling menghargai antara satu sama lain.

Darwis, satu-satunya anak Bapak yang rapat dan sentiasa ada bersama Bapak. Walaupun tugas hakiki Darwis adalah pensyarah, namun Darwis masih punya masa untuk mendengar Bapak berkongsi cerita tentang nostalgianya. Darwis peka dengan perubahan kelakuan dan kesihatan Bapak yang semakin merosot.

Darwis menjadi tempat Bapak ‘menumpahkan’ nostalgianya. Sesekali, dalam perbualan Darwis-Bapak, mereka akan saling bertukar ingatan tentang masa lalu. Hubungan Darwis dan Bapak ini adalah simbiosis yang saling menimbulkan rasa penghargaan dan meningkatkan nilai diri.

Nostalgia bukanlah semata-mata gejala kejiwaan yang memudaratkan. Bapak, berhasil mengawal dan membendung nostalgia masa lalunya daripada mengawal setiap tindakannya. Meskipun kadangkala berkelakuan ganjil, tindakan Bapak masih rasional. Bapak menyelongkar laci lama dan mencari insurans nyawa untuk diberikan kepada Darwis. Bapak sedar, beliau akan dijemput ajal tidak lama lagi dan banyak urusan yang perlu diserahkan kepada Darwis.

Spilt Gravy – Ke Mana Tumpahnya Kuah berhasil menggambarkan betapa besarnya peranan masa lalu membentuk siapa kita hari ini. Bapak hari ini, hidup dalam persona masa lalu yang diinginkannya. Bapak tidak mahu tragedi masa lalu daripada terus membelenggunya.

Sebenarnya, Bapak awal-awal lagi sudah mengakui, ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi? Bapak sedar, beliau sudah tidak lagi mampu mengawal dan mengubah tingkah setiap anaknya. Namun, buat kali terakhir, Bapak bertegas ingin menyatukan kesemua anaknya duduk semeja dan menikmati hidangan air tangannya yang pastinya mencetuskan nostalgia!

 


Pengarang :