OLEH NORZILAWATI SIDEK
SEPANG, 22 JULAI: Selangor memperuntuk hampir RM12 juta setahun bagi membaik pulih kemudahan yang rosak di kediaman berstrata.
EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata Kerajaan Negeri mensasarkan untuk menaik taraf lima perumahan bertingkat setiap tahun.
“Kita baik pulih ruang komuniti dengan harapan penduduk boleh bersosial dengan lebih baik dan kita mahu lihat penggunaan semaksima mungkin teknologi terkini seperti sistem solar.
“Kerajaan Negeri keluar bajet untuk memanfaat kawasan terbiar. Banyak kategori baik pulih antaranya baiki bumbung, tangki air dan selenggara taman,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/07/P_Prjkfizikal004-500x333.jpg)
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Fizikal Bandar Berdaya Huni Selangor (SDG 11) di Pangsapuri Ruvena Villa, di sini hari ini.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) Dato’ Abd Hamid Hussain.
Tambah Rodziah, pihak berkuasa tempatan itu telah selesai menyiapkan projek naik taraf pangsapuri berkenaan dalam tempoh empat bulan dengan peruntukan RM140,000.
“Alhamdulillah, MPSepang telahpun menyelesaikan tanggungjawab untuk membuat salah satu daripada lima lokasi (naik taraf) yang diluluskan Kerajaan Selangor.
“Kerjasama ini adalah antara Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) dan PLANMalaysia Selangor untuk kita pastikan kawasan-kawasan yang wajar kita tambah nilai,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2022/07/P_Prjkfizikal009-500x333.jpg)
Pangsapuri Ruvena Villa meliputi 22 blok kediaman lima tingkat yang menempatkan 900 unit dengan anggaran 3,500 isi rumah.
Antara penambahbaikan adalah penyediaan alatan taman permainan kanak-kanak, tempat senaman, kolam, wakaf dan tapak refleksologi selain kemudahan lampu solar dan papan tanda.