Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) bercakap ketika sesi sidang media sempena Jelajah Selangor Penyayang daerah Petaling di Laman MBPJ, Petaling Jaya pada 24 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Selangor kaji kesesuaian laksana perkhidmatan bas mini di kawasan kampung

PETALING JAYA, 24 JULAI: Kerajaan Negeri sedang mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan perkhidmatan bas mini atau van di kawasan kampung.

Dato’ Menteri Besar berkata perkhidmatan itu adalah pelengkap kepada kemudahan bas percuma, Bas Smart Selangor yang tertumpu di kawasan bandar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu diberi tumpuan dalam Belanjawan Selangor 2023 dengan menyediakan peruntukan sewajarnya.

“Contohnya YB Rajiv Rishyakaran (wakil rakyat Bukit Gasing), beliau laksana program agak menarik dengan menggunakan van dan kenderaan lain untuk mengambil penumpang dari lokaliti kampung ke laluan Bas Smart Selangor.

“Itu kita akan lihat dalam bajet akan datang supaya ‘first and last mile’ (batuan awal dan akhir) dapat dilengkapkan. Mungkin bantu dari segi (menyediakan) kenderaan lebih kecil seperti bas coaster (mini),” katanya hari ini.

Bercakap dalam sidang media selepas melancarkan Jelajah Iltizam Selangor Penyayang di sini, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sememangnya menggalakkan masyarakat menggunakan pengangkutan awam berbanding kenderaan sendiri.

“Sekarang nisbah penggunaan kenderaan peribadi dan pengangkutan awam di Selangor adalah 60:40, kalau boleh kita mahu terbalikkan angka itu,” katanya.

Batuan awal merujuk kepada permulaan perjalanan dari rumah ke hentian bas, manakala batuan akhir adalah perjalanan dari hentian bas menuju ke destinasi akhir.

 


Pengarang :