SHAH ALAM, 27 JULAI: Bantuan nutrisi makanan selama 10 bulan menerusi program Anak Selangor Anak Sihat (Asas) diperluaskan ke seluruh negeri, kata Dato’ Menteri Besar.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, langkah itu bagi mengelakkan masalah tumbesaran terbantut dan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah.
“Dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1) ini, Kerajaan Negeri akan memperluaskan Asas ke seluruh negeri bagi menangani isu kekurangan zat makanan kanak-kanak yang merupakan isu serius di Selangor.
“Kerajaan Negeri menjangka dengan menangani masalah kekurangan zat di kalangan kanak-kanak akan memberi impak positif dalam jangka panjang terutama mengurangkan jumlah pesakit bagi penyakit yang berpunca dari kekurangan zat makanan,” katanya ketika membentangkan RS-1 di Dewan Negeri Selangor hari ini.
Kerajaan Negeri menerusi Belanjawan Selangor 2022 pada 26 November memperuntuk RM1 juta bagi melaksanakan program Asas.
Inisiatif itu diwujudkan susulan kajian satu daripada lima kanak-kanak bawah lima tahun di Malaysia bantut akibat pemakanan tidak seimbang.