Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim bercakap kepada Media Selangor selepas sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, Shah Alam pada 27 Julai 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Speaker: Kerajaan Negeri masih teliti cadangan tambah kerusi DUN

SHAH ALAM, 2 OGOS: Cadangan menambah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor masih di peringkat penelitian dan memerlukan proses panjang untuk direalisasikan.

Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) Ng Suee Lim berkata pelaksanaan itu menuntut kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Cadangan itu masih ada tetapi (proses) agak rumit dan bukan mudah. Sekarang masih diteliti di peringkat eksekutif serta tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya di sidang DNS di sini, hari ini.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi penggulungan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), Suee Lim berkata Kerajaan Negeri berhak mencadangkan perkara tersebut, namun segala keputusan bergantung kepada Parlimen.

“Kita ada kuasa (tambahan kerusi DUN) walaupun mengikut perlembagaan kena tunggu setiap lapan tahun, cuma kelulusan adalah di peringkat Parlimen.

“Cuma di Selangor agak pelik kerana 17 kawasan Parlimen mempunyai pengundi lebih 100,000 misalnya Bangi dan Petaling Jaya, jadi seorang wakil rakyat agak terbeban untuk jalankan tugas,” katanya.

Ditanya kemungkinan usul berkenaan dibawa ke persidangan November depan, Suee Lim berkata keutamaan ketika ini adalah berhubung Belanjawan 2023 dan Akta Anti Lompat Parti.

“Seperti Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari kata sebelum akhir sesi penggulungan, kita tidak tahu mungkin ini sidang DUN akhir. Kalau Parlimen bubar, kita ikut.

“Kalau tiada pembubaran Parlimen sebelum November, kita akan bersidang untuk Akta Anti Lompat Parti dan Belanjawan 2023,” katanya lagi.

Pada 21 Mac lalu, Amirudin berkata Selangor akan membawa usul menambah kerusi DUN bagi mewujudkan keseimbangan dalam kalangan jumlah pengundi di kawasan bandar dan luar bandar supaya masing-masing mendapat perkhidmatan sama adil.

Menurutnya, kerusi DUN yang memiliki bilangan pengundi lebih 75,000 dijangka mengalami perubahan tersebut, namun segala keputusan bergantung kepada SPR.


Pengarang :