Kanak-kanak Tadika Kemas daerah Petaling menyertai aktiviti di ladang lembu Pavilion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), Serdang pada 9 Ogos 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MAHA 2022: Pameran haiwan ternakan, pertanian jadi tarikan di Pavilion Selangor

SERDANG, 9 OGOS: Pavilion Selangor sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 menawarkan pelbagai aktiviti sesuai untuk semua lapisan pengunjung termasuk kanak-kanak.

Pegawai Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Petaling Mohd Safri Tambong berkata antaranya pameran haiwan ternakan yang menjadi tarikan bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga pengunjung dewasa.

Mohd Safri Tambong

“Pada sesi lawatan hari ini, saya membawa 44 kanak-kanak dari lima Tabika mengunjungi Pavilion Selangor supaya mereka dapat pendedahan menerusi pelbagai aktiviti yang disediakan.

“Ini adalah antara kaedah pembelajaran di luar kelas Tabika kerana sebelum ini kita selalu bawa mereka ke zoo.

“Namun, saya mendapati ada haiwan di sini yang tidak terdapat di zoo sekali gus beri pengalaman berbeza kepada mereka,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, pekerja swasta Nadirah Mohd Saad, 26, berkata kunjungannya ke MAHA 2022 bersama ibu dan dua adik perempuannya adalah untuk meninjau ruang pameran.

“Setiap tahun saya dan keluarga memang datang ke MAHA dan melawat pavilion setiap negeri. Kali ini Pavilion Selangor menampilkan kelainan dengan membawa haiwan ternakan.

“Sebelum ini mereka hanya membawa aktiviti pertanian tetapi kali ini berbeza dan haiwan dibawa juga tidak pernah saya lihat,” katanya.

Nadirah Mohd Saad

Pada masa sama, beliau mahu memberi pendedahan kepada salah seorang adiknya yang menyambung pelajaran dalam jurusan pertanian.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan berangkat mengunjungi Pavilion Selangor bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin serta Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Ketibaan Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps) diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan isteri Datin Seri Masdiana Muhamad.

MAHA 2022 yang berlangsung mulai 4 hingga 14 Ogos ini adalah pameran pertanian terbesar dan berprestij serta menghimpunkan 1,500 gerai pempamer dengan potensi nilai jualan lebih RM250 juta.

Sebanyak lapan laman disediakan antaranya pertanian dan penternakan selain menampilkan 22 segmen dengan tarikan tersendiri.


Pengarang :