Pengarah Tanah Dan Galian Selangor (PTGS) Yusri Zakariah berucap ketika perhimpunan bulanan PTGS di Bangunan Annex, Shah Alam pada 9 Ogos 2022. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Proses guna tanah selatan Selangor, Sabak Bernam dipermudah jayakan pelan pembangunan negeri

SHAH ALAM, 9 OGOS: Proses guna tanah untuk menjayakan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) akan dimudahkan bagi membolehkan kerangka pembangunan negeri berjalan lancar.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan semua pihak supaya pelan Pembangunan Kawasan Sabak Bernam (SABDA) dan Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS) mencapai objektif.

“Pembangunan sekitar Sabak Bernam, Kuala Langat dan Sepang ini tidak melibatkan tanah rizab sebaliknya guna tanah anak syarikat Kerajaan Negeri antaranya Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) atau swasta.

“Kita akan pastikan segala proses urusan tanah mudah memandangkan dua projek ini memberi manfaat besar,” kata Yusri Zakariah selepas perhimpunan bulanan jabatan PTGS yang berlangsung di Dewan Annex, hari ini.

Ketika membentangkan RS-1 pada 27 Julai, Dato’ Menteri Besar memaklumkan projek SABDA di Sabak Bernam membangunkan tanaman bernilai tinggi menggunakan teknologi dengan anggaran pulangan hasil RM248 juta setahun.

Manakala IDRISS dengan peruntukan RM1 trilion bakal membantu pembangunan Sepang dan Kuala Langat sekali gus memastikan agihan saksama aktiviti ekonomi di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata RS-1 mengambil kira aspek pelaksanaan dasar, projek dan inisiatif menyeluruh antara Kerajaan Negeri dan persekutuan serta agendanya bagi menangani cabaran besar yang dihadapi dunia ketika ini.


Pengarang :