AGENDANASIONAL

Hujan lebat diramal landa Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya hingga 9 malam

SHAH ALAM, 23 OGOS: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 9 malam ini.

Agensi itu menerusi Twitter memaklumkan keadaan itu dijangka berlaku di negeri ini melibatkan lima daerah iaitu Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang serta seluruh Pulau Pinang.

Situasi sama diramal di Kedah melibatkan Langkawi, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu; Perak (Kerian, Larut, Matang dan Selama, Hulu Perak, Kuala Kangsar, Kinta, Kampar, Batang Padang dan Muallim) serta Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Raub, Bentong, Temerloh, Maran dan Pekan).

Manakala di Sarawak pula ialah Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu (Sibu dan Kanowit) dan Kapit (Song) serta Sabah di Sandakan (Telupid, Beluran dan Sandakan).

Menurut MetMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam (mm/jam) yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

Ramalan ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

Orang awam dinasihatkan merujuk laman sesawang www.met.gov.my , media sosial serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.


Pengarang :