Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani Plak Perasmian Penjenamaan Semula Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Kuala Langat pada 2 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Semua perpustakaan negeri dinaik taraf berperingkat, pusat pelbagai aktiviti

KUALA LANGAT, 2 SEPT: Kerajaan Selangor komited ke arah penjenamaan semula semua perpustakaan awam secara berperingkat bagi memberi keselesaan kepada pengunjung gedung ilmu tersebut.

Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak 65 daripada 104 perpustakaan awam seluruh negeri selesai dinaik taraf sejak 2016 dan usaha tersebut antara lain bertujuan membudayakan ilmu dalam kalangan masyarakat.

“Penjenamaan semula perpustakaan di bawah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) tidak tertakluk kepada usaha mencantikkan bangunan luar dan dalam perpustakaan sahaja tetapi perlu diisi dengan pelbagai aktiviti bermakna.

“Oleh itu, dasar memastikan tiada sesiapa tertinggal merupakan menjadi iltizam jitu Kerajaan Negeri bagi memastikan setiap kelompok masyarakat tidak diketepikan termasuk anak istimewa Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap sempena Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Perpustakaan Sultan Abdul Samad, di sini hari ini. Turut hadir EXCO Wanita Dr Siti Mariah Mahmud, EXCO Luar Bandar Borhan Aman Shah dan Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad.

Perpustakaan Sultan Abdul Samad yang berusia 49 tahun itu dibuka semula pada April tahun ini selepas ditutup sejak Mac 2019 untuk dinaik taraf dengan kos lebih RM3 juta.

Ia dilengkapi dengan pelbagai kemudahan moden seperti kafeteria, bilik seminar, zon kreatif, bilik multimedia yang membolehkan pelbagai aktiviti dianjurkan selain tarikan baharu iaitu gelongsor dalam bangunan setinggi hampir 15 kaki.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan lawatan sempena Majlis Perasmian Penjenamaan Semula Perpustakaan Sultan Abdul Samad, Kuala Langat pada 2 September 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pengarang :